Taklimat Petugas PRN Sarawak Ke-13 DUN Stakan Perkukuh Kesiapsiagaan Pilihan Raya
KOTA SAMARAHAN: Persiapan menghadapi Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 bagi kawasan DUN Stakan terus diperkemas menerusi penganjuran taklimat petugas bagi memastikan kelancaran pengurusan dan penyelarasan sepanjang proses pilihan raya.
Taklimat yang berlangsung di Dewan Sri Samarahan, Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak (IPGKTAR), di sini, pada Isnin memberi penekanan kepada aspek kesiapsiagaan, pembahagian tanggungjawab serta pemahaman terhadap peranan setiap petugas yang terlibat.
Sesi berkenaan turut menjadi platform penyampaian maklumat dan penyelarasan tugas bagi memastikan setiap petugas memahami skop tanggungjawab masing-masing serta melaksanakan tugasan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Persediaan awal itu penting bagi memastikan segala urusan berkaitan pilihan raya, termasuk pengurusan dan penyelarasan petugas, dapat dilaksanakan secara sistematik, teratur dan lancar.
Taklimat tersebut turut dihadiri Timbalan Residen Bahagian Samarahan merangkap Pegawai Pengurus N.17 Stakan, Rais Ahmat.-EDISI UKAS