Kekal Semangat Muafakat, Kerjasama Dalam Komuniti Zon 3 Biawak
LUNDU: Penduduk di kawasan Zon 3 Biawak digesa agar terus mengekalkan semangat muafakat dan kerjasama bagi memastikan hubungan baik serta perpaduan dalam kalangan masyarakat sentiasa terpelihara.
Billy Sujang berkata, semangat kebersamaan dan penglibatan aktif penduduk merupakan elemen penting dalam memastikan agenda pembangunan masyarakat setempat dapat diteruskan dengan berkesan.
Menurutnya, kerjasama antara pemimpin masyarakat, jawatankuasa kampung dan penduduk perlu terus diperkukuh bagi merealisasikan pembangunan inklusif yang memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Komuniti Zon 3 Biawak yang berlangsung di Balai Raya Kampung Tanjam/Opek pada Ahad.
Beliau berharap hubungan baik serta semangat kebersamaan yang telah terjalin dapat terus dipelihara sebagai asas kepada kemajuan dan kesejahteraan komuniti setempat.
Program julung kali anjuran Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Sukarelawan Zon 3 Biawak (Z3B) dengan kerjasama Jawatankuasa Kampung Tanjam/Opek itu turut menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk. -EDISI UKAS