Siburan Ooha! Festival 2026 Tarik Pengunjung Pelbagai Kaum
SIBURAN: Penganjuran Siburan Ooha! Festival 2026 di perkarangan Eastern Mall Siburan terus memeriahkan suasana setempat menerusi pelbagai aktiviti menarik serta gerai jualan makanan yang mengetengahkan kepelbagaian budaya dan cita rasa masyarakat pelbagai kaum.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil turut hadir bagi memeriahkan festival yang berlangsung selama 14 hari itu pada Ahad.
Kehadiran beliau disambut oleh Pengurus Eastern Mall merangkap penganjur festival, Roland Phang Chen Chien, yang turut mengiringi beliau melawat kawasan festival serta gerai-gerai jualan yang mengambil bahagian.
Festival anjuran pihak pengurusan Eastern Mall itu menawarkan pelbagai pilihan makanan dan aktiviti kepada pengunjung, sekali gus menjadi platform mengeratkan hubungan masyarakat serta mempromosikan kepelbagaian budaya dan keunikan komuniti di Daerah Siburan.
Orang ramai turut diseru supaya mengambil peluang berkunjung dan memeriahkan Siburan Ooha! Festival 2026 yang berlangsung sehingga 15 November 2026. -EDISI UKAS