Sukan Futsal Eratkan Silaturahim Belia Dan Masyarakat
SEBUYAU: Sebanyak 31 pasukan lelaki dari pelbagai kawasan menyertai Kejohanan Futsal JOM Berami Sebuyau 2026 yang berlangsung dalam suasana meriah dan penuh semangat kesukanan di Gelanggang Futsal Pekan Sebuyau pada Ahad.
Kejohanan anjuran Jawatankuasa Pengelola Futsal JOM Berami Sebuyau itu menghimpunkan pasukan dari Kuching, Samarahan, Spaoh, Meludam, Pusa, Triso, Sebuyau, Rengawan, Sampat serta sekolah menengah.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi turut hadir menyaksikan perlawanan serta menyempurnakan sepakan simbolik sebagai tanda sokongan terhadap penganjuran aktiviti sukan dalam kalangan belia dan masyarakat setempat.
Penyertaan pasukan dari pelbagai kawasan membuktikan sukan futsal terus mendapat sambutan dan menjadi medium untuk menyatukan golongan belia.
Selain menjadi medan pertandingan, kejohanan seumpama itu turut menyediakan platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim, memupuk perpaduan serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat. -EDISI UKAS