Sukaneka Erat Perpaduan Komuniti Kampung Muara Tuang
KOTA SAMARAHAN: Penganjuran Sukaneka Kampung Muara Tuang bukan sahaja menjadi platform riadah dan rekreasi penduduk, malah berperanan memperkukuh perpaduan, kerjasama serta hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti setempat.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, nilai paling bermakna daripada penganjuran program seumpama itu ialah hubungan persahabatan yang terjalin dan terus dipelihara walaupun pertandingan telah berakhir.
“Hadiah paling bermakna daripada sukaneka ialah hubungan yang kita bawa pulang. Pertandingan selesai hari ini, tetapi persahabatan itu biarlah terus hidup,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Sukaneka Kampung Muara Tuang di Padang Bola Kampung Muara Tuang pada Ahad.
Tambahnya, sukaneka turut menjadi ruang pembelajaran kepada kanak-kanak untuk membina keyakinan diri, mengawal emosi, menghormati peraturan serta menerima keputusan pertandingan dengan semangat kesukanan.
Dalam pada itu, Datuk Rubiah menggesa golongan belia supaya memainkan peranan lebih aktif dalam pembangunan kampung, bukan sahaja sebagai sukarelawan, malah turut dilibatkan dalam perancangan dan pelaksanaan aktiviti komuniti.
Katanya, pengalaman bekerja bersama masyarakat mampu membentuk kepimpinan, tanggungjawab serta keupayaan golongan muda memahami keperluan penduduk daripada pelbagai lapisan generasi.
Pada majlis itu, Datuk Rubiah menyumbangkan RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Muara Tuang serta RM5,000 kepada Persatuan Silat Kampung Muara Tuang bagi menyokong aktiviti dan pembangunan komuniti setempat. -EDISI UKAS