KUCHING: Pembangunan pendidikan di kawasan Darul Hana terus diberi keutamaan bagi memastikan generasi muda mendapat peluang pembelajaran yang lebih baik dalam persekitaran kondusif dan moden.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, pembangunan bangunan baharu Sekolah Kebangsaan Pulo yang dilengkapi kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) akan menyediakan suasana pembelajaran lebih selesa kepada murid setempat.
“Insya-Allah, apabila anak-anak kita belajar dalam suasana yang lebih kondusif, teratur dan moden, mereka akan mempunyai peluang yang lebih baik untuk menimba ilmu dan mencapai tahap pendidikan yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutupan Karnival Darul Hana 2026 di pentas utama karnival tersebut pada Ahad.
Tambahnya, kemudahan tersebut penting dalam membantu meningkatkan pengalaman pembelajaran murid sekali gus membuka peluang kepada mereka untuk mencapai tahap pendidikan yang lebih tinggi.
Dalam pada itu, Datuk Dr Abdul Rahman memberitahu, Karnival Darul Hana 2026 menjadi platform memperkukuh jalinan kemasyarakatan dan semangat kekeluargaan dalam kalangan penduduk Darul Hana serta kampung-kampung sekitar menerusi pelbagai pengisian keagamaan, kemasyarakatan dan kebudayaan.
Menurutnya, penganjuran karnival seperti ini menunjukkan semangat kerjasama yang kuat dalam kalangan masyarakat apabila penduduk daripada pelbagai lapisan usia bersama-sama mengambil bahagian dalam aktiviti yang dianjurkan.
Ujarnya, semangat kekeluargaan, sikap saling menghormati antara golongan tua dan muda serta budaya bekerjasama perlu terus dipelihara walaupun masyarakat kini menjalani kehidupan yang semakin moden. -EDISI UKAS