Graduan IPS Diseru Teroka Potensi Pertanian Melalui Pengetahuan, Teknologi Dan Inovasi
KUCHING: Graduan Institut Pertanian Sarawak (IPS) diseru supaya memanfaatkan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh untuk meneroka potensi sektor pertanian sebagai satu bidang ekonomi yang berdaya maju dan berdaya saing.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, potensi pertanian Sarawak yang luas merangkumi subsektor tanaman, ternakan, perikanan dan akuakultur perlu disokong oleh pengetahuan, teknologi serta pengurusan yang cekap bagi memenuhi kehendak pasaran.
“Kita perlu melihat pertanian bukan semata-mata sebagai aktiviti menghasilkan bahan mentah, tetapi sebagai satu rantaian nilai yang menghubungkan pengeluaran, pemprosesan, pembungkusan, pemasaran dan pengedaran kepada pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dalam Majlis Konvokesyen Institut Pertanian Sarawak (IPS) Ke-21 di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Isnin.
Dato Sri Dr Stephen menambah, pengusaha pertanian bukan sahaja perlu memberi tumpuan kepada jumlah pengeluaran, malah perlu memahami kos pengeluaran, kualiti produk, jangka hayat hasil, saluran pemasaran serta penetapan harga yang mampu memberikan pulangan munasabah.
Selain itu ujarnya, hasil pertanian yang berpotensi tinggi juga perlu diteroka melalui pemprosesan dan penambahan nilai bagi membolehkan produk menembusi segmen pasaran yang lebih luas.
Tegasnya, keterjaminan makanan perlu diberikan perhatian melalui keupayaan menghasilkan makanan secara konsisten, pengurusan sumber yang cekap dan pengukuhan rantaian bekalan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi serta berdaya tahan.
Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Datu Sirai Daha dan Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak Datu Dominic Chunggat, Pengetua IPS Monica Jessi Sihoi. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie