SADIP Bangunkan Kumpulan Bakat Pengarah Korporat Berkompeten Di Sarawak
KUCHING: Sarawak Centre of Performance Excellence (SCOPE) memperkenalkan Sarawak Aspiring Directors Immersion Programme (SADIP) sebagai inisiatif strategik untuk membangunkan kumpulan bakat tempatan yang kompeten dan bersedia dilantik sebagai ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta perusahaan milik kerajaan (SOE) Sarawak pada masa hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif SCOPE, Joseph Lim Jit Sek berkata, SADIP dibangunkan sebagai sebahagian daripada Pelan Transformasi SOE bagi memastikan Sarawak mempunyai kumpulan pengarah berkaliber yang mampu menerajui organisasi serta memperkukuh tadbir urus korporat.
Menurutnya, kepimpinan yang kukuh di peringkat tertinggi amat penting bagi memastikan kelestarian SOE, khususnya melalui barisan pengarah yang mempunyai kompetensi dan keupayaan membuat keputusan strategik.
“Bagi memastikan SOE kita terus mampan, kita perlu memastikan kepimpinan di peringkat tertinggi adalah kukuh.
“Ini bermakna kita mesti mempunyai barisan pengarah yang kompeten,” katanya dalam temubual khas bersama UKAS di Pejabat SCOPE Sarawak pada Isnin.
Menurut beliau, Program itu distrukturkan sebagai pembangunan kepimpinan intensif selama sembilan hari, merangkumi 74 jam pembelajaran serta tiga sesi bimbingan berkumpulan bersama ahli lembaga pengarah.
Antara modul yang ditawarkan dalam program empat peringkat itu termasuk tadbir urus korporat, pengurusan konflik kepentingan, prestasi kewangan, strategi penciptaan nilai jangka panjang, kelestarian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), kepimpinan digital serta pengurusan risiko.
Selain itu, peserta SADIP turut diberikan keahlian Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM), selain berpeluang mengikuti sesi bimbingan dan tunjuk ajar daripada pengarah berpengalaman bagi memperkukuh kompetensi mereka.
Mengulas peranan Pelan Transformasi SOE dalam menyokong agenda pembangunan ekonomi Sarawak, Joseph berkata, pelaksanaan pelan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha memastikan aspirasi negeri untuk mencapai status berpendapatan tinggi menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dapat direalisasikan.
“Pelan Transformasi SOE merupakan sebahagian daripada usaha untuk memastikan bukan sahaja kita dapat mencapai PCDS 2030, malah memastikan transformasi SOE dapat dilaksanakan,” ujarnya.
Beliau menambah, usaha memastikan SOE negeri terus mampan memerlukan barisan pengarah yang kompeten serta bersedia menghadapi cabaran tadbir urus, pengurusan risiko dan tanggungjawab korporat.
Pengambilan peserta seterusnya bagi program SADIP akan dilaksanakan berdasarkan permintaan serta jumlah pendaftaran yang diterima.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Mia Amira Jalil
Foto: Mia Amira Jalil