IPS Dirancang Dinaik Taraf Kepada Kolej, Tawar Kursus Diploma
KUCHING: Institut Pertanian Sarawak (IPS) dirancang untuk dinaik taraf daripada sebuah institusi kepada kolej bagi membolehkannya menawarkan kursus peringkat diploma pada masa akan datang.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, usaha menaik taraf IPS itu masih di peringkat perancangan, dengan institut berkenaan ketika ini menawarkan program pengajian pada peringkat sijil.
“Kita berharap institut ini dapat dinaik taraf menjadi kolej pada masa akan datang supaya dapat menawarkan kursus peringkat diploma, berbanding program peringkat sijil yang ditawarkan ketika ini.
“Itulah perancangan kita melalui Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) dan kita berharap ia dapat dilaksanakan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Konvokesyen Institut Pertanian Sarawak (IPS) Ke-21 di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Isnin.
Ujarnya, antara kekangan yang dihadapi IPS ketika ini ialah kekurangan kemudahan asrama sehingga mengehadkan pengambilan pelajar kepada 200 orang, berbanding kapasiti keseluruhan yang boleh menempatkan seramai 400 pelajar.
Bagaimanapun katanya, peruntukan sebanyak RM6 juta telah diperoleh menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi pembinaan asrama tambahan yang dijangka bermula pada 2027 dan disasarkan siap menjelang 2028 mengikut kapasiti keseluruhan sedia ada. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie