LANDAS Juara Kejohanan Bola Sepak Antara Jabatan Miri 2026
MIRI: Pasukan LANDAS muncul juara Kejohanan Bola Sepak Sarawak Antara Jabatan Miri 2026 selepas menewaskan EDUCATOR 2-0 menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi final di Kelab Rekreasi Petroliam (KRP) Lutong, pada Ahad.
EDUCATOR terpaksa berpuas hati di tempat kedua, manakala MIRI COPS menduduki tempat ketiga dan MIRI MEDICAL di tempat keempat.
LANDAS turut membawa pulang anugerah Penjaga Gol Terbaik menerusi Yusman Julaihi, manakala Muhamad Talhah Rosli daripada EDUCATOR dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.
Anugerah Penjaring Terbanyak pula menjadi milik Muhammad Fakhrullah Wahab daripada MIRI COPS.
Bagi pertandingan penalti yang diadakan secara berasingan, pasukan PERTANIAN muncul juara, manakala MIRI FA menduduki tempat kedua.
Majlis penangguhan kejohanan disempurnakan Pegawai Penguasa Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) Bahagian Miri, Nuruddin Sabali.
Beliau berkata, kejohanan julung kali anjuran MYSED itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Sarawak X-Tive untuk memperluas penyertaan masyarakat dalam aktiviti sukan serta menggalakkan amalan gaya hidup aktif dan sihat.
Beliau turut memaklumkan MYSED menyediakan Geran Sokongan MYSED bagi membantu persatuan, pertubuhan dan organisasi yang layak melaksanakan program berkaitan pembangunan belia, sukan dan keusahawanan.
Sehubungan itu, jabatan dan organisasi digalakkan menjalin kerjasama strategik dengan kementerian bagi memperluas penganjuran program sukan, khususnya di peringkat akar umbi.
Kejohanan selama dua hari itu disertai 15 pasukan daripada pelbagai jabatan dan agensi dengan kerjasama MYSED Bahagian Miri serta Persatuan Bola Sepak Bahagian Miri (Miri FA).
Turut hadir Presiden Miri FA, Mohammad Saif Jubaidi dan Penolong Setiausaha Seksyen Pembangunan Sukan, Ibu Pejabat MYSED, Nur Amirah Haidir. -EDISI UKAS