LAWAS: Seramai 15 penerima dalam kalangan asnaf menerima bantuan berjumlah RM36,200 daripada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) menerusi Program Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak Zon Utara 2026.
Pemangku Pengurus Besar TBS, Iskandar Allan berkata, bantuan itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan agensi berkenaan dalam membantu golongan asnaf menerusi empat bidang utama, iaitu pendidikan, kebajikan, pembangunan institusi Islam dan peningkatan kemahiran ummah.
“Selain bantuan kewangan, TBS turut memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kemahiran dan keupayaan menjana pendapatan melalui Kursus Akademi Latihan Insan (ALI) yang disertai 50 peserta dalam kalangan asnaf,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penangguhan Program Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak Zon Utara 2026, di sini pada Ahad.
Menurut Iskandar, ALI merupakan inisiatif TBS untuk menyediakan peluang kepada golongan asnaf mempelajari pelbagai bidang kemahiran dan kepimpinan bagi meningkatkan keupayaan diri serta taraf kehidupan.
Program selama dua hari itu turut menampilkan Pameran Perkhidmatan Agensi yang melibatkan 13 agensi kerajaan dan badan berkanun serta Program Khas Wanita.
Turut hadir, Ketua Sektor Operasi TBS Mohd Yusree Mohd Zain, Ketua Sektor Korporat Mohamat Shukri Samor, Pemangku Ketua Sektor Kewangan dan Pentadbiran Rohayai Abang Omar dan Ketua TBS Bahagian Limbang Nor Nadiah Abas. -EDISI UKAS