JBALB Perhebat Langkah Mitigasi Tangani Gangguan Bekalan Air di Lawas
LAWAS: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak mempergiat langkah mitigasi bagi menangani gangguan bekalan air di Daerah Lawas, termasuk meningkatkan penghantaran air menggunakan lori tangki serta melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan di kawasan muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Trusan.
Menurut kenyataan media JBALB Sarawak pada Ahad, gangguan bekalan air di kawasan berkenaan berpunca daripada pengumpulan pasir dan mendapan tanah di stesen muka sauk susulan perubahan aliran sungai akibat tebing sungai yang pecah.
“Fenomena ini telah menyebabkan air masuk ke pam air mentah berkurangan sekaligus telah menyebabkan pengoperasian di Loji Rawatan Air (LRA) Trusan terjejas.
“Keadaan sumber air mentah yang semakin kritikal telah menyebabkan LRA Trusan tidak dapat beroperasi seperti biasa terutamanya ketika paras air sungai surut,” kata kenyataan itu.
Bagi meninjau keadaan semasa, Pemangku Pengarah JBALB Sarawak, Ir. Ts. Tamida Da’adi mengadakan lawatan turun padang ke Lawas pada Ahad bagi memantau operasi LRA Trusan.
Beliau bersama Jurutera Air Bahagian Limbang, Ts. Ahmad Hafidzur Rahman serta pasukan teknikal JBALB Bahagian Limbang turut menjalankan pemeriksaan terhadap kapasiti operasi loji dan kerja-kerja pengorekan pasir di kawasan muka sauk bagi meningkatkan keupayaan pengambilan sumber air mentah.
Sebagai langkah jangka pendek, JBALB akan melaksanakan pemasangan pam jenis pontoon bagi membantu meningkatkan pengambilan air mentah, selain meneruskan penghantaran bekalan air menggunakan lori tangki dan menyediakan Pusat Pengumpulan Air Berpusat (Centralised Water Collection Centre – CWCC) di lokasi yang dikenal pasti.
JBALB turut meningkatkan bilangan lori tangki yang dikerahkan ke kawasan terjejas bagi mempertingkat kekerapan penghantaran bekalan air mengikut keutamaan dan keperluan penduduk.
Bagi penyelesaian jangka sederhana, kerja-kerja pembaikan muka sauk termasuk pembaikan cerun di bahagian belakang struktur berkenaan akan dilaksanakan bagi meningkatkan kestabilan tebing sungai serta mengurangkan risiko hakisan.
Sementara itu, bagi penyelesaian jangka panjang, Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) bersama JBALB Sarawak sedang melaksanakan Projek Pembinaan LRA Trusan Baharu.
Projek berkenaan merangkumi peningkatan kapasiti pengeluaran loji serta pembinaan stesen muka sauk baharu berkapasiti 90 juta liter sehari (JLH) di lokasi baharu bagi menggantikan kemudahan sedia ada.
JBALB Sarawak memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh
pengguna dan amat menghargai kesabaran serta kerjasama masyarakat sepanjang tempoh ini. Jabatan akan terus memantau situasi secara dekat dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan bantuan bekalan air dapat disalurkan kepada kawasan yang memerlukan.
JBALB Sarawak memaklumkan pihaknya akan terus memantau keadaan sumber air mentah dan operasi sistem bekalan air dari semasa ke semasa bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil berdasarkan keadaan semasa.
Jabatan itu turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami penduduk serta menghargai kesabaran dan kerjasama masyarakat sepanjang tempoh gangguan bekalan air berkenaan.-EDISI UKAS