UKAS Perkasa Profesionalisme Pengamal Media Hadapi PRN13 Sarawak
KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) terus memperkukuh kemahiran dan profesionalisme pengamal media menerusi penganjuran bengkel penulisan berita dan laporan khas bagi memastikan penyampaian maklumat kepada masyarakat kekal tepat, berkualiti dan berkesan menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN13) Sarawak.
Timbalan Pengarah 1 UKAS, Mohamed Faizal Shah Ali berkata, bengkel berkenaan menjadi platform penting untuk meningkatkan keupayaan pengamal media dalam menghasilkan laporan yang berkualiti, khususnya ketika berdepan cabaran landskap media yang semakin berkembang.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Bengkel NEWS360: Seni Penulisan Berita dan Laporan Khas untuk TV, Radio dan Digital 2026 Siri Kedua, di sini pada Isnin.
Bengkel selama dua hari bermula 9 hingga 10 November itu menghimpunkan seramai 45 peserta terdiri daripada warga UKAS, Jabatan Penerangan serta pengamal media berdaftar di Sarawak.
Dalam perkembangan berkaitan, lebih 129,000 pengundi berusia antara 18 hingga 20 tahun dijangka menjadi antara kelompok penting dalam PRN13 Sarawak, merangkumi 6.28 peratus daripada keseluruhan 2.06 juta pengundi yang dijangka terlibat dalam pilihan raya berkenaan.
Perkembangan itu turut menjadi antara perkara yang perlu diberi perhatian oleh pengamal media dalam membuat persediaan liputan PRN13, khususnya dari segi pengurusan maklumat dan penyampaian berita kepada masyarakat.
Bengkel berkenaan turut memberi penekanan kepada peningkatan pengetahuan serta kemahiran peserta dalam penulisan berita dan penyediaan laporan khas merangkumi platform televisyen, radio dan digital.
Penyertaan turut melibatkan tiga persatuan media, iaitu Pertubuhan Wartawan Bebas Kuching (PEWARTA), Commonwealth Journalist Association (CJA) Sarawak Branch dan Kuching Division Journalist Association (KDJA).
Penganjuran bengkel itu mencerminkan komitmen berterusan UKAS dalam memperkasa kompetensi pengamal media agar mampu menghasilkan laporan yang tepat dan berkesan selaras dengan perkembangan landskap media masa kini.
Bengkel NEWS360 Siri Kedua itu merupakan kesinambungan daripada siri pertama yang diadakan di Sibu, manakala siri ketiga dijadualkan berlangsung di Miri pada 11 November 2026. -EDISI UKAS