Dua Projek RTP Di Tellian Siap Lebih Awal, Satu Lagi Mula Dilaksanakan
MUKAH: Dua daripada tiga projek pembangunan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual, sekali gus meningkatkan kemudahan perhubungan penduduk di kawasan berkenaan.
Kedua-dua projek itu melibatkan kerja menaik taraf titian dan jambatan di Kampung Tellian Ulu bernilai RM290,000 serta menaik taraf titian ke rumah-rumah di Kampung Tellian Tradisi Fasa 2 bernilai RM335,000.
Projek di Kampung Tellian Ulu disiapkan pada 2 November 2026, lapan hari lebih awal daripada tarikh siap kontrak pada 10 November 2026.
Sementara itu, projek di Kampung Tellian Tradisi Fasa 2 disiapkan pada 3 November 2026, lebih dua bulan awal daripada tarikh kontrak asal pada 10 Januari 2027.
Dalam perkembangan berkaitan, sebuah lagi projek RTP membabitkan kerja menaik taraf titian di Kampung Tellian Tengah Fasa 1 bernilai RM340,000 kini memasuki peringkat pelaksanaan selepas Surat Setuju Terima dikeluarkan pada 21 Oktober lalu.
Projek berkenaan mempunyai tempoh pelaksanaan lapan bulan, bermula 10 November 2026 dan dijadualkan siap pada 9 Julai 2027.
Ketiga-tiga projek itu dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Mukah sebagai agensi pelaksana.
Pelaksanaan projek berkenaan dijangka menyediakan kemudahan perhubungan yang lebih baik, selamat dan selesa, khususnya kepada penduduk yang menggunakan titian sebagai laluan harian ke kediaman masing-masing. -EDISI UKAS