Mukah United, Sarikei FA U16 Ungguli PYFCT 2026 Edisi Mukah
MUKAH: Mukah United dan Sarikei FA U16 masing-masing muncul juara kategori bawah 14 tahun (PSK 14) dan bawah 16 tahun (PSK 16) pada Kejohanan Bola Sepak Belia Tertutup PETRONAS (PYFCT) 2026 Edisi Mukah.
Kejohanan itu menjadi antara platform mencungkil bakat muda dalam sukan bola sepak selain memberi peluang kepada pemain belia mengasah kemahiran serta menimba pengalaman menerusi persaingan di peringkat kompetitif.
Dalam kategori PSK 14, Mukah United muncul juara, diikuti Sarikei FA U14 selaku naib juara, manakala Mukah City menduduki tempat ketiga.
Bagi kategori PSK 16 pula, Sarikei FA U16 merangkul kejuaraan, manakala Cascara JR berada di tempat kedua dan Mukah City di tempat ketiga.
Mukah United turut menamatkan saingan kategori PSK 14 dengan kemenangan 6-0 ke atas SMK Mukah dalam perlawanan terakhir kejohanan.
Bagi anugerah individu, Muhammad Rizqi Zayyad Abdul Shurkriman dari Mukah United dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kategori PSK 14 selepas menghasilkan 11 gol.
Aiman Hafizul Hasdi Susalman dari Sarikei FA U16 pula meraih gelaran penjaring terbanyak kategori PSK 16 dengan jumlah jaringan sama.
Anugerah permainan adil bagi kategori PSK 14 diberikan kepada ASRM x Igan FC, manakala MJSB FC menerima pengiktirafan sama bagi kategori PSK 16.
Majlis sepak mula kejohanan disempurnakan Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip yang mewakili Residen Bahagian Mukah, pada Ahad.
Beliau turut menyempurnakan majlis penyampaian hadiah dan penutupan kejohanan bersama Pengurus Besar Perhubungan dan Khidmat Nasihat Pihak Berkepentingan PETRONAS, Zulaihi M. Mantali yang mewakili Pengerusi Bersama PYFCT 2026 Edisi Mukah.
Hadir sama, Penaung Persatuan Bola Sepak Bahagian Mukah (MUFA) Abdul Yakub Arbi serta Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Mukah merangkap Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sarawak, ASP Khairul Anuar Adeni. -EDISI UKAS