Loji Rawatan Air Trusan Kembali Beroperasi Pada Kapasiti Penuh
LAWAS: Loji Rawatan Air Trusan kini kembali beroperasi pada kapasiti penuh selepas kerja-kerja pengorekan dan pembersihan mendapan lumpur di kawasan muka sauk berjaya memulihkan operasi kedua-dua pam air mentah.
Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, kerja-kerja berkenaan dilaksanakan bagi mengatasi masalah pengumpulan lumpur yang sebelum ini menjejaskan operasi pengambilan air mentah di loji tersebut.
Menurut JBALB, kedua-dua pam air mentah kini berjaya beroperasi secara serentak berbanding hanya satu pam sebelum ini, sekali gus meningkatkan keupayaan pengeluaran air terawat bagi memenuhi keperluan pengguna.
Bagaimanapun, kerja-kerja pembilasan saluran paip (flushing) masih giat dilaksanakan bagi memastikan aliran dan tekanan bekalan air dalam sistem agihan kembali stabil.
Pengguna di kawasan yang jauh dari loji, termasuk kawasan berbukit dan berkedudukan tinggi, dijangka memerlukan sedikit masa sebelum tekanan serta bekalan air pulih sepenuhnya.
JBALB Sarawak turut memberi jaminan akan terus memantau operasi loji dan melaksanakan penyelenggaraan yang diperlukan bagi memastikan sistem bekalan air berada pada tahap optimum.
Orang ramai boleh mendapatkan perkembangan terkini menerusi Facebook rasmi JBALB Sarawak dan Rakan JBALB Bahagian Limbang.
Sebarang aduan atau pertanyaan berkaitan bekalan air boleh disalurkan kepada Pusat Panggilan JBALB di talian 082-262211.-EDISI UKAS