Pesta Lawas 2026 Catat Jualan Hampir RM1 Juta, Perkasa Ekonomi Usahawan Tempatan
LAWAS: Pesta Lawas 2026 berjaya mencatatkan jualan keseluruhan sebanyak RM965,006.40 sepanjang empat hari penganjurannya dari 5 hingga 8 November, sekali gus membuktikan potensi program berkenaan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi tempatan.
Pencapaian itu turut mencerminkan sambutan menggalakkan pengunjung terhadap produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh 200 usahawan tempatan yang mengambil bahagian dalam pesta berkenaan.
Penganjuran hasil kerjasama strategik Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Pejabat Residen Limbang dan Majlis Daerah Lawas itu menyediakan platform kepada usahawan untuk memperluas pasaran, meningkatkan jualan serta memperkenalkan produk masing-masing kepada masyarakat.
Selain memberi pulangan langsung kepada peniaga, pesta berkenaan turut menjana limpahan ekonomi kepada komuniti setempat menerusi peningkatan aktiviti perdagangan dan perkhidmatan sepanjang penganjurannya.
Kejayaan tersebut sekali gus memperlihatkan keberkesanan kerjasama antara agensi kerajaan dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan serta merancakkan kegiatan ekonomi di Lawas.
Penganjuran program seumpama ini juga mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam menyediakan peluang pasaran dan sokongan kepada usahawan tempatan agar terus berkembang secara mampan serta berdaya saing.-EDISI UKAS