Tanaman Kopi Berpotensi Jadi Sumber Pendapatan Baharu Penduduk Hulu Baram
MIRI: Tanaman kopi berpotensi menjadi sumber pendapatan baharu masyarakat di Long Seridan dan Hulu Baram menerusi pengeluaran produk hiliran bernilai tambah yang dirancang mengikut permintaan pasaran.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, pendekatan pertanian perlu beralih daripada sekadar menghasilkan tanaman kepada perancangan yang mengambil kira keperluan pasaran, jumlah pengeluaran dan potensi pemprosesan produk.
“Pendekatan kita perlu berubah daripada sekadar menanam dan kemudian mencari pembeli kepada perancangan yang lebih strategik, iaitu mengenal pasti pasaran terlebih dahulu, merancang pengeluaran dan menghasilkan produk mengikut kehendak pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program ‘Agriculture Community Outreach’ (AgriCOP) 2026, di sini pada Isnin.
Menurut Datuk Gerawat, selain kopi, tanaman kontan seperti ubi kayu, keledek, jagung, cili dan halia turut berpotensi menjana pendapatan sekiranya diusahakan secara terancang.
Katanya, kawasan Long Seridan dan Hulu Baram juga mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai kawasan pengeluaran agromakanan meliputi tanaman padi sawah, buah-buahan, sayur-sayuran dan aktiviti ternakan.
Beliau turut menggalakkan golongan belia menceburi sektor pertanian dengan memanfaatkan teknologi moden dan pemasaran digital bagi meningkatkan daya saing serta membuka peluang perniagaan berasaskan hasil tempatan.
Sehubungan itu, beliau berharap Jabatan Pertanian Sarawak dan agensi berkaitan meneruskan khidmat bimbingan serta pemantauan supaya pengetahuan yang diperoleh peserta dapat diaplikasikan dalam kegiatan pertanian secara berterusan. -EDISI UKAS