Sarawak Tawar Kelebihan Lokasi, Tenaga & Bakat Kepada Pelabur Antarabangsa
KUCHING: Sarawak menawarkan pelbagai kelebihan kepada pelabur antarabangsa, termasuk kedudukan strategik, bekalan tenaga pada kadar tarif kompetitif serta pembangunan bakat menerusi dasar pendidikan negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, faktor tersebut merupakan antara pertimbangan penting bagi pelabur yang ingin memastikan pelaburan mereka memberikan pulangan dan keuntungan dalam jangka panjang.
Menurut beliau, Sarawak mempunyai kelebihan dari segi lokasi dan tenaga, selain menawarkan kadar tarif elektrik terendah di rantau ini, sekali gus menjadi daya tarikan kepada pelabur.
“Sesiapa sahaja yang ingin melabur di sesuatu kawasan pastinya mahu memastikan pelaburan mereka memberikan keuntungan. Itu perkara pertama yang perlu dipertimbangkan kerana tiada siapa yang mahu melabur dalam perusahaan yang merugikan.
“Sarawak mempunyai pelbagai kelebihan yang boleh membantu pelabur menjana keuntungan. Jadi, mengapa tidak datang dan melabur di Sarawak?,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyertai sesi ‘Fireside Chat at the Standard Chartered-Invest Sarawak British-Malaysia Chamber of Commerce (BMCC) Industrial Transition Forum’, di sini pada Selasa.
Tambahnya, pelabur juga perlu menilai kos keseluruhan pelaksanaan projek, termasuk pembiayaan, kadar pinjaman serta model operasi bagi memastikan daya maju sesuatu pelaburan dalam jangka panjang.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, pembangunan bakat merupakan antara faktor utama yang turut diberikan perhatian oleh bakal pelabur, selain kemudahan bekalan tenaga dan air.
Katanya, dasar pendidikan Sarawak berupaya melahirkan tenaga kerja berkemahiran yang menguasai teknologi moden bagi memenuhi keperluan industri dan ekonomi baharu.
“Berdasarkan perbincangan saya dengan bakal pelabur, mereka bukan sahaja tertarik dengan bekalan tenaga dan air di Sarawak, malah turut melihat dasar pendidikan negeri sebagai satu kelebihan.
“Ini kerana Sarawak mampu menyediakan tenaga kerja berkemahiran yang menguasai teknologi moden,” jelas beliau lagi. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ameerul Shafiq Khir