UKAS Disaran Perkukuh Peranan Bantu Media Sepanjang PRN Ke-13
KUCHING: Petugas Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)di semua daerah disaran membantu pengamal media yang memerlukan bantuan sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-13.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, bantuan itu termasuk membuka ruang kepada pengamal media yang bertugas di kawasan pedalaman untuk menggunakan kemudahan pejabat, capaian internet dan kemudahan lain bagi melancarkan tugasan liputan mereka.
“Semua bilik operasi UKAS di peringkat daerah juga perlu dilengkapi dengan kemudahan asas seperti alat tulis, kit perubatan, pencetak serta capaian internet bagi memastikan kelancaran operasi sepanjang tempoh pilihan raya,” katanya
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis penutupan Bengkel News360 (Seni Penulisan Berita dan Laporan Khas untuk TV, Radio dan Digital 2026), di sini pada Selasa.
Jelas Datuk Abdullah, persediaan itu penting memandangkan bukan semua organisasi media mempunyai petugas atau wartawan di kawasan pedalaman.
“Di sinilah kita memainkan tanggungjawab moral dan semangat setiakawan dengan warga media lain, termasuk membantu menyalurkan maklumat yang tepat dan sahih serta membuat semakan silang bagi memastikan kesahihan sesuatu maklumat,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November 2026 sebagai hari penamaan calon bagi PRN Sarawak Ke-13, manakala 12 Disember 2026 ditetapkan sebagai hari pengundian. -EDISI UKAS