Premier Sarawak: Saya 'Bertanding' Di 82 Kerusi DUN
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyifatkan dirinya seolah-olah 'bertanding' di kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 atas kapasiti sebagai Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Beliau berkata, keputusan GPS untuk meletakkan calon di semua 82 kerusi mencerminkan tanggungjawab kepimpinan yang dipikulnya bersama setiap calon parti itu dalam menghadapi pilihan raya berkenaan.
“Saya sebagai Pengerusi GPS bertanding di semua 82 kerusi,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Konvensyen Kepimpinan dan Pemerkasaan Murid Tingkatan Enam Negeri Sarawak Tahun 2026 di sini pada Selasa.
Kenyataan itu dibuat ketika beliau diminta mengulas kemungkinan bertanding di kerusi DUN Demak Laut yang merangkumi kawasan Tanjung Embang, lokasi cadangan pembangunan pelabuhan laut dalam dan lapangan terbang antarabangsa baharu.
Pembangunan strategik di Tanjung Embang turut merangkumi perancangan infrastruktur berkaitan kecerdasan buatan (AI) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pertumbuhan ekonomi dan pembangunan masa depan Sarawak.
Dalam konteks itu, kenyataan Premier Sarawak berhubung kesemua 82 kerusi DUN merujuk kepada peranannya sebagai Pengerusi GPS yang menerajui gabungan berkenaan, bukannya pengesahan mengenai kerusi yang bakal ditandinginya secara peribadi.
Sebelum ini, Premier Sarawak mengumumkan pembubaran DUN Sarawak Ke-19 pada 23 Oktober lalu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dengan pembubaran berkuat kuasa pada 26 Oktober 2026.
Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 6 November menetapkan 28 November 2026 sebagai hari penamaan calon, 8 Disember bagi pengundian awal dan 12 Disember sebagai hari pengundian PRN Sarawak Ke-13.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Asyrafiee Madzihi