SoftBank Labur USD1.85 Bilion Di Malaysia, Sarawak Terima USD 1 Bilion
KUCHING: Sarawak bakal menerima pelaburan awal berjumlah USD1 bilion atau kira-kira RM4.07 bilion bagi pembangunan infrastruktur kecerdasan buatan (AI), daripada keseluruhan modal permulaan USD1.85 bilion yang dirancang untuk pembangunan infrastruktur AI di Malaysia.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, jumlah USD1.85 bilion itu merangkumi keseluruhan pelaburan di Malaysia dan bukan hanya untuk Sarawak.
“Keseluruhan entiti itu melabur sebanyak USD1.85 bilion untuk Malaysia, tetapi lebih USD1 bilion diperuntukkan untuk Sarawak.
”Saya merujuk kepada jumlah keseluruhan pelaburan tersebut. Kita tidak boleh hanya menyebut Sarawak kerana pelaburan itu melibatkan keseluruhan negara. Perjanjian mengenainya juga telah ditandatangani,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Konvesyen Kepimpinan Dan Pemerkasaan Murid Tingkatan Enam Negeri Sarawak Tahun 2026, di sini pada Selasa.
Tambah beliau, Sarawak akan menjadi lokasi infrastuktur AI utama dengan Tanjung Embang dikenal pasti sebagai lokasi pembangunan tersebut.
Untuk makluman, SoftBank Group Corp. (SoftBank), Grab Holdings Limited (Grab) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) merancang pelaburan awal berjumlah US$1 bilion atau kira-kira RM4.07 bilion bagi membangunkan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) berskala besar di Sarawak.
Pembangunan itu menyasarkan kapasiti pengkomputeran AI sehingga lima gigawatt dalam jangka panjang, selain meneroka peluang dalam bidang teknologi termaju, robotik, perkhidmatan AI serta pembangunan tenaga kerja dan komuniti tempatan.
Menurut kenyataan media bersama ketiga-tiga syarikat pada Isnin, kerjasama itu memasuki fasa pembangunan bersama menerusi pemeteraian Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA), susulan Perjanjian Kerangka yang ditandatangani di Kuching pada 8 Oktober lalu.
Menerusi kerjasama tersebut, SoftBank akan menerajui pembangunan projek dan memegang kepentingan majoriti, manakala Grab dan PETROS bertindak sebagai rakan strategik dengan menyumbangkan kepakaran dalam teknologi AI, perkhidmatan digital, tenaga dan pembangunan infrastruktur.
Hadir sama, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU Dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Dato Omar Mahli serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Asyrafiee Madzihi