KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berpuas hati dengan persiapan Sarawak sebagai penganjur bersama temasya Sukan SEA Malaysia 2027.
Menterinya Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, persiapan Sarawak khasnya dari aspek penyediaan fasiliti sukan berjalan mengikut jadual ditetapkan.
Katanya, Sekretariat Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC 2027) juga sentiasa memantau persiapan negeri tersebut untuk memastikan penganjuran lancar dan sempurna.
“Setakat hari ini, Sarawak berada dalam ‘on track’, semua pembinaan dari segi fasiliti dan stadium kita sentiasa memantau.
“MASOC juga memantau dari hari ke hari, untuk memastikan segalanya berjalan dengan baik, lancar dan sempurna,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Portal Rasmi Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-14 2027 di Kuala Lumpur Sport City di sini pada Selasa.
Menurutnya, semua fasiliti yang siap dibina atau dibaikpulih akan menjalani dry run enam bulan sebelum Sukan SEA bermula bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini berlaku semasa temasya berlangsung kelak.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kira-kira 15,000 sukarelawan diperlukan bagi melicinkan penganjuran temasya dwitahunan itu nanti yang dijadual berlangsung dari 18 hingga 29 September 2027.
Katanya, peluncuran bagi pengambilan sukarelawan akan diadakan pada 5 Disember ini serentak dengan peluncuran lagu rasmi Sukan SEA ke-34.
“Sekurang-kurangnya 14,000 hingga 15,000 orang sukarelawan, dan mungkin ada penambahan dari masa ke semasa.
“Tapi 15,000 adalah angka setakat ini untuk kita mencari sukarelawan-sukarelawan untuk memastkan kelancaran temasya SEA Games 2027,” tambahnya.
Mengulas mengenai portal tersebut, Dr Mohamad Taufek berkata, ia dibangunkan dengan mematuhi piawaian ditetapkan serta selamat dari ancaman penggodam.
Katanya, portal yang dibangunkan itu juga mesra pengguna dan mudah untuk diakses bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan Sukan SEA nanti.
“Walaupun perkara itu sesuatu yang tidak mudah, namun kita hendak memastikan website ini adalah selamat, insya-Allah tidak mudah untuk digodam,” tegasnya.
Turut hadir Timbalan Menteri KBS Mordi Bimol, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MASOC Datuk Abdul Rashid Yaakub, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datu Dzulkornain Masron serta tetamu lain. - EDISI UKAS