RSAWIT International Marathon 2026 Tarik 4,160 Pelari Dari 14 Negara
SIBU: Acara Rimbunan Sawit Berhad (RSAWIT) International Marathon 2026 bakal menyaksikan penyertaan seramai 4,160 pelari dari 14 buah negara yang akan berlangsung di Dataran Tun Tuanku Bujang pada 22 November ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Michael Lau Chai Hing berkata, sambutan menggalakkan itu membuktikan daya tarikan acara berkenaan sekali gus memperkukuh potensi Sibu sebagai destinasi pelancongan sukan serantau.
“Daripada jumlah keseluruhan peserta, sebanyak 98.46 peratus atau 4,096 pelari merupakan warga tempatan Malaysia, di mana Sarawak menyumbang penyertaan terbesar iaitu seramai 3,666 orang.
"Manakala penyertaan dari negeri-negeri lain merangkumi Sabah dengan 91 peserta dan Kuala Lumpur seramai 77 peserta," katanya pada sidang media RSAWIT International Marathon 2026, di sini pada Selasa.
Mengulas mengenai penyertaan antarabangsa, Michael memberitahu Kenya mendahului dengan 29 peserta, diikuti Singapura, 10, Brunei, 8, China, 5 manakala Indonesia dan Thailand masing-masing menghantar 2 peserta.
Selain itu, terdapat masing-masing seorang pelari dari Mesir, Ghana, Hong Kong, India, Jepun, New Zealand, Amerika Syarikat dan Vietnam.
Beliau menambah, kejohanan anjuran RSAWIT dengan kerjasama Jawatankuasa Petugas Pelancongan Bahagian (DTTG) Sibu itu menawarkan empat kategori larian iaitu 42KM Full Marathon, 21KM Half Marathon, 10KM Competitive Run dan 3KM Fun Run.
Bagi kategori 42KM, seramai 634 pelari telah mendaftar, manakala 21KM mencatatkan 1,276 peserta, 10KM seramai 1,021 peserta dan 3KM seramai 1,229 peserta.
"Acara marathon ini menawarkan keseluruhan hadiah wang tunai berjumlah RM261,000, di mana johan bagi kategori 42KM Full Marathon International Open bakal membawa pulang hadiah utama bernilai sehingga RM10,000," jelasnya.
Larian 42KM akan dilepaskan pada jam 12 tengah malam (22 November), diikuti 21KM pada jam 3 pagi, 10KM jam 4.30 pagi dan 3KM jam 6 pagi, dengan waktu penutup rasmi larian ditetapkan pada jam 7 pagi.
Sempena penganjuran itu juga, Jalan Bujang Suntong akan ditutup sepenuhnya dari jam 10 malam (21 November) hingga 8 pagi (22 November), manakala Jalan Tun Abang Haji Openg ditutup dari jam 5.30 pagi hingga 7 pagi (22 November)
Pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan seperti Pertandingan Fotografi, Pertandingan Pakaian Kreatif Terbaik bagi kategori 3KM, serta Bazaar Marathon dari 20 hingga 22 November. -EDISI UKAS