Penggunaan AI Dalam Perkhidmatan Awam Mesti Disandarkan Kepada Integriti & Akauntabiliti
KUCHING: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam perkhidmatan awam Sarawak perlu disandarkan pada prinsip integriti, ketelusan dan akauntabiliti bagi memastikan teknologi itu dimanfaatkan secara bertanggungjawab dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, meskipun AI menawarkan peluang besar dalam meningkatkan kecekapan dan inovasi, penggunaannya turut membawa risiko terhadap tadbir urus termasuk manipulasi maklumat, kebocoran data, kecenderungan algoritma serta penyalahgunaan dalam proses membuat keputusan.
“AI harus memperkukuh keupayaan perkhidmatan awam dalam membuat keputusan berasaskan maklumat yang tepat, namun tanggungjawab terhadap keputusan tersebut kekal terletak pada pegawai dan pihak berkuasa yang diberi amanah untuk membuatnya,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Integriti Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG) 2026, di sini pada Selasa.
Menurut beliau, pegawai kerajaan perlu memastikan setiap maklumat yang dijana AI disemak dari segi ketepatan dan kebolehpercayaannya sebelum digunakan sebagai asas kepada penyediaan kertas dasar, penilaian kewangan, laporan teknikal atau cadangan pentadbiran.
Sehubungan itu, ketua jabatan dan pegawai kanan perlu memastikan penggunaan teknologi berkenaan dalam organisasi masing-masing mematuhi dasar serta keperluan keselamatan yang ditetapkan, selain meningkatkan literasi AI dalam kalangan penjawat awam.
“Pegawai perlu mengesahkan ketepatan dan kebolehpercayaan maklumat tersebut sebelum menggunakannya sebagai asas dalam proses membuat keputusan rasmi,” ujar beliau lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kementerian turut memberi penekanan kepada pengukuhan integriti institusi melalui pelaksanaan Strategi Antirasuah Organisasi (OACS) bagi mengenal pasti risiko rasuah dan memperbaiki kelemahan dalam prosedur pentadbiran.
Antara bidang yang memerlukan perhatian termasuk perolehan, pengurusan kontrak, kewangan, pelesenan dan penguatkuasaan yang berpotensi terdedah kepada risiko rasuah atau konflik kepentingan.
Beliau menegaskan bahawa tanggungjawab memelihara integriti bukan hanya terletak pada Unit Integriti dan Ombudsman sebaliknya perlu dipikul oleh semua peringkat kepimpinan organisasi, termasuk ketua jabatan, pegawai kanan dan ketua bahagian.
Pada masa sama, beliau menggalakkan pihak berkuasa tempatan (PBT) meneruskan usaha pendigitalan perkhidmatan serta mengintegrasikan sistem dan aplikasi sedia ada bagi menyokong pelaksanaan Pelan Ekonomi Digital Sarawak 2030. -EDISI UKAS