727 Penerima Terima Manfaat Hak Milik Tanah, Pampasan RM5.26 Juta
KOTA SAMARAHAN: Seramai 727 penerima di Bahagian Samarahan mendapat manfaat menerusi penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera, surat hak milik tanah serta pampasan pengambilan balik tanah berjumlah RM5.26 juta sekali gus memperkukuh jaminan pemilikan tanah dan menyokong pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat.
Penyerahan tersebut disempurnakan Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Dewan Suarah Kota Samarahan, di sini pada Rabu.
Daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 18 penerima menerima Warta Rizab Komunal Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak (KTS), manakala 622 penerima menerima surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 dan 33 penerima di bawah Seksyen 13 KTS.
Selain itu, sebanyak 73 cek pampasan berjumlah RM5,256,513.30 diserahkan kepada 54 penerima melibatkan dua projek pengambilan balik tanah bagi tujuan pembangunan.
Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Samarahan, Ahmad Raslan Yaiyah berkata, penyerahan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam mempercepatkan proses pengukuran, pewartaan dan pengeluaran hak milik tanah kepada rakyat.
Menurutnya, setakat 11 November 2026, seluas 23,839.69 hektar tanah di Bahagian Samarahan telah diukur menerusi Inisiatif Baharu Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di bawah Seksyen 6 KTS, dengan 11,044.93 hektar daripadanya telah diwartakan.
Bagi Fasa 2 inisiatif sama di bawah Seksyen 18 KTS, sebanyak 3,440 lot individu melibatkan keluasan 3,288.41 hektar berjaya diukur di seluruh bahagian berkenaan.
Pada majlis itu, sebanyak 11 warta di bawah Seksyen 6 KTS turut diserahkan melibatkan kawasan penempatan masyarakat di Bahagian Samarahan.
Sementara itu, penyerahan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 KTS melibatkan tujuh kampung dengan keluasan keseluruhan kira-kira 466.75 hektar atau 1,153.36 ekar.
Kampung terlibat ialah Kampung Mang, Kampung Sampun Tebun, Kampung Tanjung Pedada, Kampung Semera, Kampung Stok, Kampung Nangka dan Kampung Tebelu.
Bagi Seksyen 13 KTS pula, sebanyak 39 surat hak milik tanah diserahkan kepada 24 penerima di Kampung Moyan Laut.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Raslan memaklumkan sebanyak 52 projek pengambilan balik tanah direkodkan di Bahagian Samarahan, merangkumi empat projek Kerajaan Persekutuan dan 48 projek Kerajaan Sarawak.
Katanya, daripada keseluruhan peruntukan RM106.38 juta bagi pelaksanaan projek berkenaan, sebanyak RM80.06 juta telah dibelanjakan dengan kemajuan fizikal keseluruhan mencapai 80.96 peratus.
Bagi penyerahan pampasan pada majlis itu, sebanyak 28 cek berjumlah kira-kira RM4.87 juta diserahkan kepada 12 penerima bagi Projek Samarahan Administrative Centre (IAC).
Sebanyak 45 cek lagi bernilai RM386,276.90 diserahkan kepada 42 penerima bagi Projek Penahan Hakisan Tebingan Sungai Kampung Sageng.
Penyerahan hak milik tanah dan pampasan tersebut diharap dapat memberi kepastian pemilikan kepada penduduk, di samping memastikan pelaksanaan projek pembangunan berjalan lancar demi kesejahteraan masyarakat.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datu Abdullah Julaihi, Timbalan Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak, Wan Fadillah Wan Ahmad, Timbalan Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Sr Rozlan Putit, Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang serta Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Samarahan, Ahmad Raslan Yaiyah.-EDISI UKAS