Penemuan Audit Positif Bukan Bermakna Tiada Ruang Penambahbaikan
KUCHING: Penemuan audit yang positif tidak seharusnya menyebabkan sesebuah jabatan berpuas hati dengan pencapaian sedia ada.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, sebaliknya setiap jabatan perlu terus mencari ruang untuk penambahbaikan dalam amalan tadbir urus.
“Pendekatan 3R iaitu Revisit, Rethink and Recharge perlu diterapkan bagi memastikan amalan tadbir urus sentiasa ditambah baik secara berterusan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Jawatankuasa Audit Sarawak 2026 di sini, pada Rabu.
Tambah Datuk Amar Mohamad Abu Bakar, tadbir urus yang baik bukan sekadar memastikan pematuhan terhadap peraturan kewangan, tetapi turut melibatkan keupayaan memastikan setiap keputusan, peruntukan sumber dan program yang dilaksanakan menghasilkan manfaat bermakna.
Sehubungan itu, ketua jabatan perlu meneliti kelemahan yang dikenal pasti melalui laporan audit, mengenal pasti punca permasalahan serta mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan kelemahan sama berulang.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Ibanez Jeffery