Buku Panduan Jawatankuasa Audit Perkukuh Tadbir Urus Perkhidmatan Awam Sarawak
KUCHING: Unit Audit Dalam Sarawak menerbitkan Buku Panduan Jawatankuasa Audit Sarawak dalam memperkukuh integriti, akauntabiliti serta tadbir urus yang baik dalam perkhidmatan awam.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, buku panduan yang dilancarkan buat julung kalinya itu amat bertepatan dengan keperluan semasa, khususnya dalam memastikan fungsi Jawatankuasa Audit dilaksanakan secara lebih berkesan.
“Harapan saya agar semua ahli Jawatankuasa Audit dapat memanfaatkan buku panduan ini sepenuhnya, khususnya dalam meneliti penemuan audit yang signifikan, memantau pelaksanaan
tindakan pembetulan serta menilai risiko,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Jawatankuasa Audit Sarawak 2026 di sini, pada Rabu.
Tambah Datuk Amar Mohamad Abu, penerbitan buku panduan itu merupakan langkah tepat dalam memastikan kebebasan dan tahap profesionalisme fungsi Audit Dalam terus terpelihara.
Hadir sama, Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua, Pengarah Unit Audit Dalam Sarawak, Jeferi Darhman dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kecemerlangan Prestasi Sarawak (SCOPE), Joseph Lim Jit Sek.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Ibanez Jeffery