Hampir 3 Juta Hektar Tanah NCR Diukur, Sejuta Hektar Diwartakan
KOTA SAMARAHAN: Hampir 3 juta hektar tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Sarawak berjaya diukur dengan hampir 1 juta hektar daripadanya telah diwartakan menerusi pelaksanaan Inisiatif Baharu NCR sejak 2010 hingga Oktober 2026.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam mempercepatkan proses pengukuran tanah bagi menjamin hak pemilikan masyarakat Bumiputera.
Menurut beliau, pelaksanaan inisiatif berkenaan melibatkan beberapa proses penting termasuk permohonan, penyelidikan oleh Jabatan Tanah dan Survei (JTS), sesi libat urus bersama penduduk serta kerja pengukuran di lapangan.
“Program ini adalah berdasarkan kepada permohonan dan kita pertimbangkan. Jabatan Tanah dan Survei membuat penyelidikan sebelum ianya diluluskan.
“Sebelum kerja-kerja pengukuran dilaksanakan di peringkat lapangan, kita membuat libat urus dengan mereka yang terlibat dan di sanalah kita berbincang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera, Surat Hak Milik Tanah serta Cek Pampasan Tanah Bahagian Samarahan di Dewan Suarah Kota Samarahan, pada Rabu.
Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II menjelaskan, pengukuran tanah NCR dilaksanakan menerusi dua peringkat iaitu pengukuran perimeter di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak (KTS), diikuti pengukuran lot individu di bawah Seksyen 18 kanun sama.
Katanya, kerjasama penduduk dalam mengenal pasti dan mengesahkan sempadan tanah amat penting bagi memastikan proses pengukuran berjalan lancar sebelum surat hak milik individu dikeluarkan.
“Surat hak milik di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak mempunyai keistimewaan tersendiri, antaranya tempoh hak milik yang kekal, tidak perlu membayar premium dan cukai tanah, manakala kos kerja-kerja pengukuran ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan,” jelasnya.
Dalam usaha mempercepatkan pengukuran tanah NCR, Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan RM40 juta bagi pelaksanaan program berkenaan, berbanding RM2 juta yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan pada tahun ini.
Selain itu, kerajaan negeri turut meluluskan pengambilan kira-kira 467 kakitangan bagi memperkukuh keupayaan pasukan pengukuran JTS, melibatkan anggaran perbelanjaan RM30 juta setahun.
Tambahnya, peningkatan permohonan pengukuran lot individu menunjukkan kemajuan pelaksanaan program berkenaan apabila semakin banyak kawasan telah melalui proses pengukuran perimeter.
Mengulas mengenai dakwaan kerajaan tidak prihatin terhadap isu tanah NCR, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak sentiasa mengiktiraf hak adat Bumiputera yang mempunyai bukti sah mengikut peruntukan undang-undang.
Sebagai perbandingan, katanya, hanya kira-kira 260,000 hektar tanah berjaya diukur sepanjang tempoh lebih 50 tahun, iaitu dari 1960-an hingga 2010, sebelum Inisiatif Baharu NCR diperkenalkan.
“Daripada tahun 1960-an hingga tahun 2010, kita cuma berjaya menyukat keluasan kawasan lebih kurang 260,000 hektar sahaja. Disebabkan itu, kita memikirkan bagaimana kaedah untuk mempercepatkan pengukuran tanah ini bagi menentukan jaminan terhadap hak mereka,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Amar Awang Tengah menjelaskan bahawa pindaan KTS menerusi Seksyen 6A turut menyediakan mekanisme bagi membolehkan permohonan berkaitan tanah wilayah adat Bumiputera atau Native Territorial Domain dipertimbangkan, termasuk perkara yang dibangkitkan berhubung Pulau Galau.
Menurutnya, setiap permohonan perlu memenuhi kriteria ditetapkan dan melalui penelitian JTS sebelum dipertimbangkan bagi pengeluaran hak milik tanah komunal.
Sementara itu, beliau menasihatkan penerima surat hak milik tanah supaya mengusahakan tanah masing-masing secara produktif dan tidak terburu-buru menjualnya demi keuntungan jangka pendek.
“Saya nasihatkan supaya mereka menggunakan tanah ini dengan sebaik-baiknya. Jangan kita mengambil keuntungan dalam jangka pendek dengan menjual tanah kita. Sebaliknya, kalau kita usahakan tanah itu, ia akan memberi manfaat sepanjang tempoh tanah itu,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat atas kerjasama dalam menjayakan program pengukuran tanah NCR yang bertujuan melindungi hak pemilikan tanah serta menjamin kesejahteraan generasi akan datang.-EDISI UKAS