Peruntukan RM40 Juta & Tambahan 467 Kakitangan Bantu Percepatkan Penyukatan Tanah NCR
KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak memperuntukkan kira-kira RM40 juta tahun ini dan meluluskan pengambilan 467 kakitangan baharu bagi mempercepatkan penyukatan Tanah Adat Bumiputera (NCR) di seluruh negeri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, penambahan sumber kewangan dan tenaga kerja itu penting bagi memastikan proses penyukatan dapat dilaksanakan dengan lebih lancar, sekali gus mempercepatkan pengeluaran surat hak milik kepada pemilik tanah yang layak.
Selain itu katanya, inisiatif baharu yang diperkenalkan sejak 2010 itu menggunakan pendekatan penyukatan secara berperingkat, bermula dengan pengukuran perimeter sebelum diteruskan kepada pengukuran individu dan pengeluaran surat hak milik di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.
“Kalau kita tidak bantu dan percepatkan urusan kerja penyukatan ini, ia akan mendatangkan banyak masalah dan sebab itu kita melaksanakan inisiatif baharu sejak 2010 untuk mempercepatkannya,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak (KTS), Surat Hak Milik Tanah Seksyen 13 dan 18 serta Cek Pampasan Tanah bagi Bahagian Samarahan, pada Rabu.
Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah memberitahu, proses libat urus dengan masyarakat turut dilaksanakan sebelum kerja pengukuran bermula bagi memastikan sempadan tanah dipersetujui pihak berkepentingan berdasarkan bukti dan dokumen yang sah.
Jelas beliau, pemilik tanah yang menerima hak milik di bawah Seksyen 18 pula menikmati beberapa keistimewaan, termasuk pengecualian bayaran premium, cukai tanah dan kos kerja-kerja pengukuran.
“Kalau sudah ada persetujuan semua pihak dan kita laksanakan kerja-kerja pengukuran, kita keluarkan surat hak milik di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri,” katanya.
Beliau menegaskan Kerajaan Sarawak akan terus mengiktiraf hak tanah adat Bumiputera yang mempunyai bukti serta memenuhi kehendak perundangan, selain berusaha mempercepatkan proses penyukatan bagi mengelakkan masalah berbangkit pada masa hadapan. -EDISI UKAS