Pelan Induk Trafik Kuching 2030 Pacu Pembangunan Jalan Baharu
KUCHING: Kerajaan Sarawak memperkukuh perancangan jaringan jalan raya di sekitar Kuching menerusi Pelan Induk Trafik Kuching sehingga 2030 bagi menangani kesesakan lalu lintas susulan pertumbuhan pesat kawasan perumahan dan pembangunan baharu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg berkata, pelan induk berasaskan data, simulasi dan pemodelan trafik itu menjadi panduan kepada kerajaan dalam merancang pembinaan jalan baharu serta meningkatkan kapasiti laluan sedia ada.
Menurut beliau, antara projek utama yang dilaksanakan ialah pembinaan Jalan Batu Kawa ke Jalan Stephen Yong bernilai RM207.88 juta menggunakan peruntukan Kerajaan Sarawak bagi melancarkan aliran trafik di kawasan berkenaan.
“RM207 juta bajet negeri adalah daripada peruntukan negeri untuk kita menyelaraskan aliran trafik yang ada di Batu Kawa kerana ada pertambahan kawasan perumahan, jadi jalan agak sesak,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Projek Pembinaan Jalan Batu Kawa ke Jalan Stephen Yong, di sini pada Rabu.
Datuk Patinggi Abang Zohari menjelaskan, perancangan jangka panjang itu turut melibatkan pelebaran Jalan Malihah di Matang kepada empat lorong serta pembinaan jaringan jalan baharu yang menghubungkan Siburan, Kota Samarahan dan Serian melalui Kampung Munggu Kopi ke Gedong.
Selain itu, jaringan jalan raya di Petra Jaya turut dirancang untuk diperkukuh melalui hubungan ke Jalan Matang, Telaga Air serta laluan Bako-Buntal bagi meningkatkan kesalinghubungan dan akses ke kawasan pembangunan baharu.
“Kita sudah ada data dan perancangan sehingga 2030 dan kita buat simulasi dan pemodelan trafik untuk menjangkakan lokasi pembangunan perumahan baharu yang perlu dihubungkan dengan infrastruktur jalan raya yang baik,” ujar beliau lagi.
Sementara itu, menurut Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, projek Jalan Batu Kawa ke Jalan Stephen Yong melibatkan pembinaan laluan sepanjang 5.664 kilometer mengikut piawaian U3 dengan dua lorong dua hala.
Laluan yang menghubungkan Persimpangan Batu Kawa-Matang di Sungai Moyan ke Persimpangan Jalan Stephen Yong itu dijangka mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas di Jalan Batu Kawa-Kuching sehingga 30 peratus apabila siap kelak.
Projek berkenaan yang bermula pada 11 Februari 2026 dijadualkan siap pada 10 Februari 2029.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya.-EDISI UKAS