Program SKS Bantu Atasi Ketirisan Maklumat Penting Ke Kawasan Luar Bandar
KUCHING: Program Sarawakku Sayang (SKS) membantu kerajaan mengatasi ketirisan penyampaian maklumat mengenai dasar, inisiatif serta projek pembangunan ke kawasan luar bandar.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, penganjuran program yang memasuki edisi ke-10 di bahagian Serian itu membolehkan kerajaan turun padang bagi memastikan rakyat mendapat maklumat tepat mengenai pelbagai kemudahan dan peluang yang disediakan.
Menurut beliau, pendekatan berkenaan penting kerana masih terdapat masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar, yang belum mendapat maklumat sepenuhnya mengenai dasar dan inisiatif kerajaan.
“Ini satu cara untuk Kerajaan Sarawak memberi lebih banyak pendedahan mengenai dasar-dasar dan program-program termasuk inisiatif yang dibuat untuk rakyat.
“Kita mahu lebih mendekati masyarakat, lebih-lebih lagi di luar bandar yang mungkin kadangkala tidak mendapat maklumat tepat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam program Juh Randau terbitan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), di sini pada Rabu.
Berlangsung selama dua hari pada 20 dan 21 November ini di ‘Serian Conference Centre’, SKS Bahagian Serian turut memberi tumpuan kepada potensi ekonomi Serian, khususnya dalam sektor pertanian, penternakan dan ekopelancongan.
Residen Bahagian Serian, Mackos Sibong berkata, kawasan itu menyumbang kira-kira 25 peratus kepada bekalan makanan Sarawak dengan nilai sumbangan berjumlah RM4.142 bilion berdasarkan statistik 2025.
Katanya, pencapaian itu membuktikan potensi besar Serian untuk terus berkembang sebagai kawasan pengeluaran makanan, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai usahawan dan pelabur menceburi sektor berkenaan.
“Ini menunjukkan potensi untuk masyarakat mengembangkan perniagaan dalam bidang penternakan, sayur-sayuran dan sektor berkaitan yang sememangnya mempunyai peluang besar di Serian,” katanya.
Antara tarikan utama SKS Serian ialah Serian Kitchen yang menampilkan pesta buah-buahan tempatan, penyertaan 50 restoran, demonstrasi masakan serta peluang kepada 500 pengunjung terawal menikmati buah-buahan tempatan secara percuma.
Program dua hari itu turut menampilkan konsert rakyat, Serian Fun Run, Serian busking, pertandingan video berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta pameran perkhidmatan kerajaan menerusi Pavilion Sarawak.
Majlis pelancaran awal program itu pada 20 November akan disempurnakan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, manakala majlis perasmian rasmi pada 21 November dijangka disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Mia Amira Jalil
Foto: Shahril Haqim