KUCHING: Wisma Melayu Sarawak kini menjadi mercu tanda baharu yang melambangkan keunikan warisan, identiti dan ketamadunan masyarakat Melayu Sarawak.
Wisma tersebut dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar diiringi bersama isterinya, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi dalam satu majlis perasmian pada Rabu.
Turut hadir, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Majlis perasmian disempurnakan menerusi upacara simbolik penyerahan keris oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan kepada Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi sebelum keris berkenaan diletakkan pada podium khas
Yang di-Pertua Negeri Sarawak kemudiannya turut menyempurnakan lafaz perasmian bagi wisma tersebut yang menjadi mercu tanda ikonik baharu bagi budaya Melayu Sarawak.
“Bismillahirrahmanirrahim, dengan nama Allah, Al-Jabbar, Al-Qahhar, saya merasmikan Wisma Melayu Sarawak,” ucap beliau.
Suasana majlis turut diserikan dengan pertunjukan bunga api sebelum Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi menandatangani plak perasmian sebagai simbolik penyempurnaan majlis berkenaan.
Keunikan Wisma Melayu Sarawak terserlah menerusi seni bina bangunannya yang diinspirasikan daripada tengkolok atau destar, iaitu warisan busana Melayu yang melambangkan kemuliaan, kedaulatan dan martabat.
Idea pembinaan mercu tanda berkenaan dicetuskan oleh Allahyarham Pehin Sri Datuk Patinggi (Dr) Adenan Satem ketika menerajui AKYBMS, manakala usaha pembangunannya melalui beberapa peringkat sebelum pembinaan fizikal bermula pada Disember 2022 di atas tapak seluas 6.5 ekar di Jalan Diplomatik, Petra Jaya.
Wisma Melayu Sarawak turut dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk Dewan Utama, pejabat pentadbiran yayasan, Pusat Sumber Melayu dan surau, manakala Muzium Tamadun Melayu Sarawak pula sedang dalam perancangan.
Dewan Utamanya berupaya menampung kira-kira 2,000 orang bagi persidangan dan sekitar 1,500 orang untuk majlis makan malam, sekali gus menyediakan ruang bagi pelaksanaan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, pendidikan dan kebudayaan.
Hadir sama, anakanda kepada Premier Sarawak Dayang Norjihan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan Timbalan Menteri Sarawak, Pengurus Besar AKYBMS Datu Dr Sanib Said serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Asyrafiee Madzihi