Pendidikan Kunci Anak Melayu Sarawak Keluar Daripada Kemiskinan
KUCHING: Pendidikan perlu menjadi asas kepada usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat Melayu Sarawak, khususnya dalam memodenkan sektor pertanian dan perikanan serta meneroka bidang ekonomi baharu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, anak Melayu perlu memanfaatkan peluang pendidikan untuk meningkatkan keupayaan diri, sekali gus memperkukuh kedudukan ekonomi agar mampu bersaing dengan masyarakat lain.
Menurutnya, sektor pertanian dan perikanan perlu melalui proses pemodenan dengan penglibatan anak Melayu yang memiliki ilmu serta kepakaran bagi meningkatkan produktiviti dan nilai ekonomi kedua-dua sektor berkenaan.
“Dalam hubungan ini, sudah tentu ada persaingan untuk mendapatkan pendidikan yang tinggi.
“Inilah terletaknya peranan anak-anak Melayu supaya ia dapat mencerminkan kemegahan Wisma ini sebagai kegemilangan anak Melayu dalam era yang baharu,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Wisma Melayu Sarawak yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau berkata keupayaan anak Sarawak untuk bersaing di peringkat antarabangsa turut menjadi antara faktor yang menarik minat pelabur asing, termasuk SoftBank yang telah memutuskan pelaburan berjumlah USD50 bilion di Sarawak, dengan pelaburan awal sebanyak USD1.85 bilion atau kira-kira RM7 bilion.
Katanya, antara kelebihan Sarawak yang dikenal pasti pelabur ialah sumber tenaga boleh diperbaharui, bekalan air yang mencukupi serta dasar pendidikan percuma yang memberi peluang kepada anak Sarawak menguasai bahasa Inggeris di samping bahasa ibunda.
“Saya berharap anak Melayu akan terus berusaha menjadi pakar dalam bidang ekonomi baharu dunia dan mengangkatkan negeri Sarawak sebagai negeri yang boleh bersaing dan yang penting anak Melayu sendiri boleh bersaing dengan orang lain,” ujar beliau lagi,”. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Asyrafiee Madzihi