Wisma Melayu Sarawak Digerak Sebagai Pusat Dokumentasi & Penyelidikan Budaya
KUCHING: Wisma Melayu Sarawak perlu digerak sebagai pusat dokumentasi, penyelidikan dan pengembangan budaya Melayu bagi memastikan warisan masyarakat itu terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi akan datang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, peranan Wisma Melayu Sarawak tidak seharusnya terbatas sebagai sebuah bangunan, sebaliknya perlu berkembang sebagai pusat ilmu dan kegiatan yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
“Saya berharap Wisma Melayu Sarawak dapat berperanan sebagai pusat dokumentasi, penyelidikan, dan pengembangan budaya Melayu melalui kerjasama dengan institusi pengajian tinggi, penyelidik, penggiat seni, serta pertubuhan masyarakat bagi memastikan warisan ini terus dipelihara secara sistematik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Wisma Melayu Sarawak yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, di sini pada Rabu.
Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari, penggunaan teknologi digital termasuk kecerdasan buatan (AI) turut membuka peluang lebih luas untuk memelihara, mendokumentasikan dan memperkenalkan warisan budaya kepada masyarakat, khususnya generasi muda.
Jelas beliau, pendekatan itu penting bagi memastikan khazanah budaya Melayu bukan sahaja dapat disimpan sebagai rekod sejarah, malah terus difahami dan diakses oleh generasi akan datang.
“Saya harap pusat ini adalah pusat pertemuan anak-anak Melayu untuk berfikir masa depan, untuk anak-anak Melayu mempertahankan budaya, dan seterusnya untuk anak-anak Melayu mengangkatkan martabat orang Melayu di masa-masa yang akan datang,” ujar beliau lagi.
Hadir sama, isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, anakanda kepada Premier Sarawak Dayang Norjihan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari, Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYMBS) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan Timbalan Menteri Sarawak dan Pengurus Besar AKYBMS Datu Dr Sanib Said. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Asyrafiee Madzihi