LUASS Arena Buka Lebih Banyak Ruang Aktiviti Sukan, Rekreasi Di SMK Luak
MIRI: Warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Luak dan penduduk sekitar kini mempunyai kemudahan tambahan untuk menjalankan aktiviti sukan serta rekreasi menerusi penyiapan LUASS Arena di sekolah berkenaan.
Kemudahan itu bukan sahaja menyediakan ruang lebih kondusif untuk aktiviti kokurikulum pelajar, malah berpotensi dimanfaatkan bagi program riadah dan kegiatan kemasyarakatan yang melibatkan penduduk setempat.
Penyiapan projek berkenaan dimuktamadkan menerusi Majlis Penyiapan dan Penyerahan Projek yang melibatkan Pusat Khidmat Piasau bersama kontraktor pelaksana, disempurnakan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, di sini pada Rabu.
Majlis itu turut menyaksikan penandatanganan dokumen penyiapan dan penyerahan projek sebagai pengesahan penyerahan kemudahan berkenaan kepada pihak sekolah.
Dengan adanya LUASS Arena, pelajar mempunyai ruang tambahan untuk mengembangkan bakat dalam bidang sukan, manakala komuniti setempat berpeluang menggunakan kemudahan tersebut bagi aktiviti riadah dan rekreasi.
Kemudahan itu juga membuka ruang kepada pihak sekolah dan masyarakat untuk menganjurkan lebih banyak aktiviti bersama, sekali gus memperluas fungsi sekolah sebagai pusat kegiatan komuniti. -EDISI UKAS