Kota Samarahan Berpotensi Capai Status Bandar Raya Dalam Tempoh 5 Hingga 10 Tahun
KUCHING: Kota Samarahan berpotensi dinaik taraf kepada status bandar raya dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang seiring dengan pertumbuhan pesat penduduk yang kini menghampiri 200,000 orang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perkembangan itu mencerminkan transformasi Kota Samarahan sebagai antara pusat pertumbuhan utama di Sarawak, sekali gus memerlukan perancangan pentadbiran dan pembangunan yang lebih menyeluruh.
Menurut beliau, jumlah penduduk di kawasan berkenaan telah meningkat hampir tiga kali ganda berbanding kira-kira 70,000 orang ketika Samarahan masih ditadbir sebagai majlis daerah.
“Dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, jumlah penduduk Samarahan dijangka terus meningkat sehingga pentadbirannya mungkin tidak lagi sesuai dikendalikan sebagai majlis perbandaran, sebaliknya memerlukan struktur pentadbiran yang lebih besar seperti Dewan Bandaraya Kota Samarahan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun Ke-10 Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) pada Rabu.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari menegaskan kepentingan memastikan pembangunan dilaksanakan secara seimbang di empat zon utama pentadbiran MPKS, iaitu Muara Tuang, Stakan, Asajaya dan Sadong Jaya.
Menurut beliau, pembangunan tidak seharusnya hanya tertumpu di pusat bandar, sebaliknya perlu diperluas ke kawasan pinggir bandar dan luar bandar bagi memastikan manfaat kemajuan dapat dinikmati secara menyeluruh.
Sehubungan itu, setiap zon perlu diberikan perhatian berdasarkan potensi dan keperluan masing-masing, khususnya dalam aspek pembangunan perumahan, jaringan jalan raya, sistem saliran, kemudahan awam, pertanian serta peluang ekonomi luar bandar.
Beliau turut menggesa MPKS supaya memulakan perancangan awal bagi menghadapi pertumbuhan penduduk dan perkembangan ekonomi yang dijangka semakin pesat dalam tempoh sedekad akan datang.
Langkah itu penting bagi memastikan Kota Samarahan terus berkembang sebagai kawasan perbandaran yang terancang, seimbang dan mampan, selaras dengan keperluan penduduk serta aspirasi pembangunan Sarawak.-EDISI UKAS