SK Bukit Nibong Terima Peruntukan RM8,000 Perkasa Kemudahan & Aktiviti Sukan
MERADONG: Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Nibong menerima peruntukan berjumlah RM8,000 bagi menaik taraf kemudahan sekolah serta memperkukuh pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum dalam kalangan murid.
Daripada jumlah itu, RM5,000 diperuntukkan bagi penyediaan sistem siar raya sekolah, manakala RM3,000 disalurkan bagi menyokong penganjuran Kejohanan Olahraga SK Bukit Nibong Tahun 2026.
Peruntukan berkenaan diumumkan sempena Majlis Perasmian Kejohanan Sukan SK Bukit Nibong Tahun 2026 pada Khamis.
Inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, di samping menggalakkan penyertaan aktif murid dalam aktiviti sukan.
Penganjuran kejohanan berkenaan turut menjadi platform penting untuk mencungkil bakat sukan serta memupuk disiplin, semangat kerjasama, kepimpinan dan perpaduan dalam kalangan murid.
Selain meningkatkan kecergasan fizikal, penglibatan dalam aktiviti sukan juga membantu membentuk keyakinan diri, kemahiran sosial dan sahsiah positif sebagai pelengkap kepada kecemerlangan akademik.
Kerjasama pihak sekolah, guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan murid secara menyeluruh dapat direalisasikan.-EDISI UKAS