Graduan Sarawak Skills Tembusi Pasaran Kerja Amerika Syarikat, Bukti Keupayaan TVET Sarawak
KUCHING: Kejayaan graduan Sarawak Skills menembusi pasaran pekerjaan di Amerika Syarikat membuktikan keupayaan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Sarawak melahirkan tenaga kerja mahir yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pencapaian itu mencerminkan keberkesanan latihan kemahiran yang ditawarkan Sarawak Skills dalam memenuhi keperluan industri serta permintaan pasaran kerja global.
“Kita dimaklumkan bahawa salah seorang graduan kita kini bekerja di Amerika Syarikat dan ini membuktikan bahawa tenaga kerja mahir Sarawak mendapat permintaan di peringkat antarabangsa.
“Jika kemahiran anak Sarawak diperlukan di Amerika Syarikat, mereka juga berupaya melangkah ke luar negara dan menyumbang kepakaran dalam pasaran kerja global,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Konvokesyen Sarawak Skills Ke-28, di sini pada Khamis.
Premier Sarawak menambah, kejayaan berkenaan turut membuktikan bahawa pendidikan TVET bukan lagi sekadar laluan alternatif untuk mendapatkan pekerjaan, sebaliknya mampu membuka peluang kerjaya yang lebih luas sehingga ke peringkat antarabangsa.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan memperkukuh pembangunan modal insan berkemahiran tinggi bagi memastikan anak Sarawak terus berdaya saing seiring dengan perubahan teknologi dan keperluan industri masa hadapan.
Katanya, pembangunan tenaga kerja mahir juga menjadi antara elemen penting dalam menyokong agenda transformasi ekonomi Sarawak, khususnya usaha mempelbagaikan sektor ekonomi serta mengurangkan kebergantungan kepada industri tradisional.
Justeru, pengukuhan ekosistem TVET perlu terus diberi perhatian bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja tempatan yang mampu memenuhi keperluan industri dalam negeri, di samping merebut peluang pekerjaan di pasaran global.
Turut hadir, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Pengerusi Sarawak Skills, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato Husain, dan Pengarah Eksekutif Sarawak Skills merangkap Pengerusi Federation of Malaysian Skills Development Centres, Hallman Sabri.-EDISI UKAS