CENTEXS Commercial Buka Pusat Pembungkusan, Mulakan Operasi Awal Tahun Hadapan
KUCHING: CENTEXS Commercial Sarawak bakal membuka CENTEXS Commercial Packaging Centre (CCPC) yang dijangka mula beroperasi seawal Januari 2027 bagi menyediakan kemudahan pengeluaran dan pembungkusan produk kepada usahawan di seluruh Sarawak.
Pengurus Besar CENTEXS Commercial Sarawak, Mohamad Shahren Mohamad Yusri berkata, pusat berkenaan dijangka mengadakan majlis perasmian pada Februari selepas memulakan operasi bagi memberi ruang kepada pihak pengurusan menilai pelaksanaan perkhidmatan pada peringkat awal.
“Apabila CCPC dirasmikan pada tahun hadapan, kita berharap lebih ramai usahawan di seluruh Sarawak dapat menggunakan kemudahan yang disediakan, termasuk pelbagai pakej untuk tujuan pengeluaran dan pembungkusan.
“Inisiatif ini merupakan yang pertama dilaksanakan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sarawak dalam menyediakan platform seumpama ini bagi membantu usahawan memperbaiki dan mengembangkan perniagaan mereka menerusi penambahbaikan aspek pembungkusan produk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutupan Program TikTok Shop Malaysia – Empowering Sellers Bersama Usahawan Sarawak, di sini pada Rabu.
Mengulas mengenai program, Mohamad Shahren memberitahu, program dua hari bersama TikTok Shop Malaysia tersebut menghimpunkan usahawan dari pelbagai kawasan di Sarawak.
Menurutnya, program berkenaan menyediakan seminar serta latihan berkaitan pengendalian perniagaan dan kaedah menjana pendapatan menerusi platform TikTok Shop.
Ujarnya, lima usahawan turut dikenal pasti sebagai kumpulan perintis bagi pelaksanaan CCPC yang akan datang.
Inisiatif itu turut mendapat kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS), Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) dan Sarawak Economic Development Corporation (SEDC) dalam membantu menyediakan maklumat berkaitan usahawan serta pembangunan produk. -EDISI UKAS