KUCHING: Graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Sarawak perlu melihat kelayakan kemahiran sebagai permulaan kepada laluan kerjaya lebih tinggi, bukan terhad kepada pekerjaan teknikal di peringkat permulaan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, generasi baharu tenaga kerja negeri perlu berani menyasarkan jawatan profesional, termasuk jurutera dan pengurus korporat, selaras dengan perubahan struktur ekonomi serta kemunculan industri berteknologi tinggi.
“Jadi, kepada para graduan, masa depan adalah milik anda kerana kami ini sudah tua, dan graduan sekaranglah yang akan menggantikan kami.
“Para graduan boleh bermula sebagai juruteknik sebelum meningkat ke jawatan lebih tinggi seperti pengurus korporat dan jurutera korporat,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Sarawak Skills Ke-28, di sini pada Khamis.
Menurut beliau, transformasi ekonomi Sarawak memerlukan generasi pelapis yang bukan sahaja memiliki kemahiran teknikal, tetapi turut mampu mengambil alih peranan lebih besar dalam pengurusan dan pembangunan industri.
“Saya harap graduan sekarang akan berjaya dan melonjakkan Sarawak sebagai negeri yang termaju di Malaysia,” ujar beliau lagi.
Jelas Datuk Patinggi Abang Zohari, perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), robotik dan tenaga boleh diperbaharui akan mengubah keperluan pekerjaan, sekali gus membuka ruang kepada tenaga kerja tempatan meningkatkan kedudukan profesional masing-masing.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kepentingan menyediakan latihan yang relevan dengan keperluan industri supaya graduan tidak ketinggalan dalam perubahan landskap pekerjaan. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi