i-Raqib Perkukuh Pemantauan Perintah Nafkah, Lindungi Hak Wanita dan Anak-Anak
SIBU: Pelaksanaan sistem i-Raqib dijangka memperkukuh pemantauan perintah nafkah Mahkamah Syariah melalui pendekatan lebih sistematik dan bersepadu, sekali gus membantu memastikan hak wanita serta anak-anak selepas perceraian terus terbela.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pelaksanaan perintah nafkah perlu diberikan perhatian serius bagi memastikan ibu dan anak-anak tidak terus terjejas akibat kegagalan pembayaran nafkah selepas perceraian.
“Dalam soal ini, saya mahu melihat kita yang diamanahkan dan bertanggungjawab membantu memastikan perintah nafkah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah dapat dilaksanakan, memberikan perkhidmatan nasihat dan rundingan kepada pihak-pihak yang menghadapi masalah tunggakan nafkah, serta membantu golongan ibu dan anak-anak yang terkesan akibat kegagalan pembayaran nafkah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Seminar Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak bersempena Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak 2026 Zon Tengah di Dewan Kompleks Islam Sibu, pada Khamis.
Beliau turut menekankan keperluan memudah cara penyelesaian pertikaian nafkah melalui pendekatan bersesuaian, selain meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hak dan tanggungjawab selepas perceraian.
Menurut beliau, kerjasama antara agensi perundangan, pentadbiran bahagian dan agensi kebajikan perlu terus diperkukuh bagi memudahkan urusan rujukan serta mengurangkan kesulitan yang dihadapi masyarakat.
Tambah beliau, penyelarasan dan tindakan susulan mengikut bidang tanggungjawab setiap agensi penting bagi memastikan golongan yang memerlukan mendapat bantuan serta sokongan sewajarnya.
Seminar yang menghimpunkan kira-kira 300 peserta itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenai hak serta tanggungjawab dalam institusi kekeluargaan Islam, khususnya berkaitan nafkah, hak selepas perceraian serta pelaksanaan dan penguatkuasaan perintah Mahkamah Syariah.
Dibangunkan sebagai Kaedah Pemantauan Perintah Mahkamah Syariah Bersepadu, inovasi itu membolehkan Unit Pemantauan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) melaksanakan pemantauan perintah mahkamah dengan lebih cekap dan berkesan.
Program itu turut menyediakan pameran dan kaunter khidmat nasihat melibatkan pelbagai agensi bagi membolehkan masyarakat mendapatkan maklumat serta perkhidmatan secara langsung.
Majlis turut menyaksikan pelancaran sistem i-Raqib serta penyerahan bantuan dana Bahagian Sokongan Keluarga dan Bakul Mahabbah.
Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak, Datu Awang Suhaili Ledi, Residen Bahagian Sibu, Superi Awang Said, Hakim Rayuan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Dato Mohammad Adib Husain serta Temenggung, Dato Sri Wan Hamid Edruce Tuanku Mohamad.-EDISI UKAS