Lebih 22,000 Hektar Tanah NCR Di Sibu Diiktiraf, Manfaatkan 264 Penerima
SIBU: Seramai 264 penerima di Bahagian Sibu menerima dokumen pengiktirafan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) melibatkan keluasan keseluruhan 22,483.22 hektar menerusi penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, penyerahan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam mempercepat proses pengukuran dan pengiktirafan tanah NCR bagi menjamin hak pemilikan tanah masyarakat Bumiputera.
Menurut beliau, usaha tersebut dilaksanakan secara konsisten setiap tahun berdasarkan peruntukan undang-undang dan bukan bersifat bermusim.
“Ini merupakan program berterusan yang dilaksanakan kerajaan dan bukannya hanya dilakukan apabila menjelang pilihan raya.
“Program ini dilaksanakan setiap tahun dan pelbagai usaha telah dijalankan bagi memastikan proses pengukuran tanah NCR dapat diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6, Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18, Kanun Tanah Sarawak dan Cek Pampasan Tanah Bahagian Sibu di Dewan Lakis Sibu, pada Khamis.
Daripada jumlah tersebut, seramai 106 penerima menerima Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 melibatkan kawasan seluas 21,942.13 hektar, manakala 158 penerima menerima Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 bagi keluasan 541.09 hektar.
Mengulas lanjut, Datuk Amar Awang Tengah berkata, Kerajaan Sarawak sentiasa memberi perhatian terhadap tuntutan tanah NCR yang mempunyai asas kukuh serta memenuhi syarat dan peruntukan undang-undang ditetapkan.
Katanya, meskipun kerja pengukuran tanah NCR telah dilaksanakan sejak 1960-an, keluasan tanah yang berjaya diukur sehingga 2010 hanya sekitar 260,000 hektar.
Bagaimanapun, sejak 2010 hingga kini, lebih 1.2 juta hektar tanah NCR berjaya diukur daripada keseluruhan kawasan melebihi tiga juta hektar yang dikenal pasti untuk pelaksanaan program berkenaan, manakala hampir 1.9 juta hektar telah diwartakan.
Beliau menjelaskan, proses pengiktirafan tanah NCR dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan pengukuran perimeter dan pewartaan kawasan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.
Proses itu kemudian disusuli pengukuran lot individu sebelum Surat Hak Milik Tanah dikeluarkan di bawah Seksyen 18.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat setempat, khususnya pemilik tanah, supaya memberikan kerjasama penuh dengan menghadiri sesi libat urus serta membantu kerja pengukuran di lapangan bagi memastikan proses berkenaan berjalan lancar.
Pada majlis sama, cek pampasan berjumlah RM12.69 juta turut diserahkan kepada 165 penerima bagi pengambilan tanah melibatkan lima projek pembangunan di Bahagian Sibu.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak, Datu Awang Suhaili Ledi, Residen Bahagian Sibu, Superi Awang Said, Hakim Rayuan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Dato Mohammad Adib Husain serta Temenggong Dato Sri Wan Hamid Edruce Tuanku Mohamad.-EDISI UKAS