Prosedur Birokrasi Perlu Dipermudah, Percepat Penyampaian Bantuan Kepada Rakyat
SIBU: Prosedur birokrasi perlu dipermudahkan bagi memastikan bantuan kerajaan dapat disampaikan kepada rakyat dengan lebih cepat, cekap dan berkesan khususnya golongan yang memerlukan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, setiap agensi pelaksana perlu memastikan proses pentadbiran tidak menjadi penghalang kepada rakyat untuk mendapatkan bantuan dan perkhidmatan sewajarnya.
“Prosedur janganlah berleret-leret—pusing sana, pusing sini—akhir sekali bantuan tidak sampai.
"Sesuatu yang boleh dipermudahkan, anda mesti permudahkan supaya ia menjadi mudah dan cepat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Seminar Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak bersempena Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak 2026 Zon Tengah di Dewan Kompleks Islam Sibu, pada Khamis.
Menurut beliau, penambahbaikan penyampaian perkhidmatan kerajaan turut memerlukan pendekatan turun padang bagi membolehkan agensi pelaksana mengenal pasti kekurangan serta memahami keperluan sebenar masyarakat yang berbeza mengikut kawasan.
Sehubungan itu katanya, Program Sarawakku Sayang (SKS) dilaksanakan di beberapa lokasi bagi mendapatkan input secara langsung daripada masyarakat tempatan sebagai asas untuk menambah baik perkhidmatan dan pelaksanaan inisiatif kerajaan.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan komited memastikan tiada rakyat yang terpinggir daripada menikmati kemudahan dan bantuan kerajaan, sama ada di kawasan bandar, pinggir bandar mahupun pedalaman.
Dalam pada itu, beliau turut memuji pelbagai inisiatif dan pakej bantuan kerajaan di bawah kepimpinan Premier Sarawak menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Antara inisiatif tersebut termasuk program kebajikan, Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), bantuan kelahiran anak serta kemudahan pendidikan tinggi yang disediakan bagi menyokong kesejahteraan rakyat.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak, Datu Awang Suhaili Ledi, Residen Bahagian Sibu, Superi Awang Said, Hakim Rayuan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Dato Mohammad Adib Husain serta Temenggung, Dato Sri Wan Hamid Edruce Tuanku Mohamad.-EDISI UKAS