Kehadiran Penuh, Disiplin Asas Bentuk Generasi Pelajar Cemerlang
BETONG: Kerjasama erat antara guru dan ibu bapa perlu diperkukuh bagi memastikan kehadiran murid ke sekolah mencapai 100 peratus, sekali gus mengelakkan mereka tercicir daripada pendidikan dan memberi peluang membina masa depan yang lebih cemerlang.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, disiplin diri, komitmen dan kesungguhan dalam menuntut ilmu merupakan elemen penting dalam membentuk generasi pelajar yang berjaya serta mampu menyumbang kepada pembangunan negeri.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Graduasi Tingkatan Enam dan Apresiasi Pencapaian Cemerlang (APC) Sekolah Menengah Kebangsaan St. Augustine (SEMESTA) Tahun 2026 di Dewan Tan Sri Alfred Jabu, SMK St. Augustine Betong, pada Khamis.
Menurut beliau, usaha memastikan kehadiran murid sentiasa berada pada tahap tinggi memerlukan pendekatan bersama antara pihak sekolah dan ibu bapa, khususnya bagi membantu murid yang tinggal di kawasan luar bandar.
Beliau turut menggalakkan pelajar mempertimbangkan untuk tinggal di asrama kerana persekitaran tersebut dapat membentuk disiplin, sikap berdikari dan kebolehan mengurus masa, selain membantu mereka mengimbangi pembelajaran dengan aktiviti riadah.
Mengibaratkan alam persekolahan seperti satu perlumbaan, beliau berkata kejayaan memerlukan latihan, persediaan dan usaha berterusan bagi membolehkan pelajar mencapai potensi terbaik masing-masing.
Dalam pada itu, beliau berkata SMK St. Augustine Betong mempunyai rekod tersendiri dalam melahirkan bekas pelajar yang berjaya menceburi bidang profesional seperti perubatan, kejuruteraan dan sains, sekali gus mengharumkan nama Betong.
Menyentuh keperluan pembangunan modal insan, beliau menekankan kepentingan penguasaan bidang Sains dan Teknologi, termasuk mata pelajaran Kimia, Fizik dan Matematik bagi menyediakan pelajar dengan kemahiran yang diperlukan untuk memenuhi keperluan pembangunan Sarawak pada masa hadapan.
Katanya, Kerajaan Sarawak komited menyediakan sokongan dan peluang kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang profesional dan teknikal.
Selain itu, Kerajaan Sarawak turut memperuntukkan RM30 juta menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) pada 2026 bagi membantu sekolah-sekolah mubaligh di negeri ini.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyempurnakan penyampaian Sijil Graduasi 2026 kepada pelajar Tingkatan Enam Semester 3 serta anugerah khas sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian dan kecemerlangan pelajar.
Turut hadir Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu, wakil Residen Bahagian Betong, Florence Bulan, Pengetua SMK St. Augustine Betong merangkap Yang Dipertua Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak (PPSMS), Ujai Sambau, wakil Pegawai Pendidikan Daerah Betong, Edwin Agam, Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah SMK St. Augustine, Temenggong Nelson Kloni Kanang serta Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK St. Augustine, Kaunselor Horrace Entoi.-EDISI UKAS