Projek Pembangunan Selangau Perlu Utamakan Keperluan Mendesak Rakyat
TATAU: Pelaksanaan projek pembangunan di kawasan Parlimen Selangau perlu mengutamakan keperluan mendesak masyarakat, khususnya penduduk pedalaman yang masih berdepan kekurangan kemudahan asas dan akses komunikasi.
Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta berkata, setiap projek yang dilaksanakan perlu memberi manfaat langsung kepada penduduk dan ditentukan berdasarkan keperluan sebenar di lapangan, bukan sekadar memenuhi perancangan pembangunan.
“Contohnya, kita ada keperluan untuk meratakan tapak perkuburan di Temawai Panjai, Arip Ili kerana melibatkan kepentingan masyarakat setempat.
“Usaha meningkatkan kemudahan komunikasi juga perlu dipergiatkan, terutama di kawasan pedalaman yang masih belum menikmati liputan internet, termasuk melalui penyediaan kemudahan Starlink,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Parlimen Selangau, pada Khamis.
Untuk rekod, sebanyak RM267,000 dana MRP disalurkan kepada 71 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan seorang penerima bantuan pendidikan.
Sesudah majlis berkenaan, Edwin turut mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tatau untuk meninjau keadaan jalan dalam kawasan sekolah yang mengalami kerosakan dan berlubang. -EDISI UKAS