LAWAS: Seramai 20 peserta berdaftar dalam pangkalan data eKasih di Lawas diberi latihan kemahiran dalam bidang pertanian dan kulinari menerusi Program Sejahtera MADANI bagi membuka peluang menjana pendapatan serta meningkatkan ekonomi keluarga.
Peserta terdiri daripada Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR) itu mengikuti dua kursus, iaitu tanaman dan hidroponik serta masakan dan kulinari, masing-masing melibatkan 10 peserta.
Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Sarawak, Dato Jasni Jubli berkata, latihan berkenaan bertujuan memberikan kemahiran praktikal yang boleh dimanfaatkan peserta untuk mendapatkan pekerjaan atau memulakan perkhidmatan sendiri.
“Dengan adanya kursus latihan kemahiran ini, ia boleh membuka peluang kepada peserta untuk meneroka bidang pekerjaan atau menjalankan perkhidmatan berkaitan kemahiran yang diperoleh serta menggalakkan peserta menjana pendapatan tambahan dan meningkatkan taraf sosioekonomi keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Sejahtera MADANI, Skop Peningkatan Pendapatan (Kursus Latihan Kemahiran) ICU JPM Sarawak, di sini pada Khamis.
Program selama empat hari bermula 9 hingga 12 November itu merupakan sebahagian daripada usaha membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan keupayaan ekonomi melalui penguasaan kemahiran yang mempunyai potensi untuk dikomersialkan.
Dato Jasni menambah, usaha membasmi kemiskinan memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk kerajaan yang menyediakan dasar dan bantuan, agensi pelaksana serta kesungguhan penerima untuk mengubah taraf kehidupan masing-masing.
Beliau turut mengingatkan peserta supaya tidak berhenti setakat menamatkan latihan dan memperoleh sijil penyertaan, sebaliknya terus meningkatkan ilmu, pengalaman serta kemahiran bagi merebut peluang pekerjaan dan menjana pendapatan.
Turut hadir, Penolong Pengurus Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEX) Lawas, Intan Nazierah Mahmud. Pegawai Khas Ahli Parlimen Lawas, Steve Lius, Penolong Pegawai Daerah Lawas, Aminul Fadzrin Abdul Rahim dan wakil Residen Limbang, Jaenly Marten. -EDISI UKAS