Usaha Tingkatkan Kemudahan Bekalan Air Di Poyut Lubok Nibong Diberi Perhatian
MIRI: Usaha menambah baik kemudahan bekalan air di Poyut Lubok Nibong terus diberi perhatian menerusi penyelarasan bersama agensi berkaitan bagi mengenal pasti langkah penyelesaian yang bersesuaian dengan keperluan penduduk.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, bekalan air merupakan keperluan asas yang penting dalam menjamin kesejahteraan dan keselesaan masyarakat.
Menurutnya, kerjasama antara agensi perlu diperkukuh bagi memastikan setiap kekangan dapat diteliti dan penyelesaian praktikal dapat dikenal pasti untuk meningkatkan kemudahan berkenaan.
“Usaha mencari penyelesaian yang praktikal dan berkesan perlu diberikan perhatian serius agar masalah ini dapat ditangani dengan sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat bersama Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan Pembangunan Poyut Lubok Nibong (PPLN), di sini baru-baru ini.
Difahamkan, mesyuarat itu memberi tumpuan kepada penelitian keadaan semasa, mengenal pasti kekangan teknikal serta membincangkan langkah penyelesaian menerusi kerjasama dan penyelarasan antara pihak berkaitan.
Datuk Gerawat dalam pada itu turut berharap hasil perbincangan itu dapat diterjemahkan kepada tindakan susulan yang jelas oleh JBALB bagi memastikan penduduk Poyut Lubok Nibong menikmati kemudahan bekalan air yang lebih baik dan terjamin. -EDISI UKAS