57 KMKK Dalat Diperkasa Sebagai Penggerak Pembangunan Akar Umbi
SIBU: Seramai 57 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Dalat menyertai Program Kompetensi KMKK bagi memperkukuh peranan mereka sebagai penggerak pembangunan di peringkat akar umbi, selaras dengan hala tuju pembangunan Sarawak.
Pegawai Daerah Dalat, Mathew Hubert berkata, sasaran Sarawak mencapai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) RM282 bilion bukan hanya bergantung kepada usaha kerajaan, sebaliknya memerlukan sumbangan semua pihak termasuk KMKK.
"Apabila Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyatakan sasaran KDNK sebanyak RM282 bilion, kita juga perlu memikirkan sumbangan yang boleh diberikan dan apa yang boleh kita lakukan dalam skop tanggungjawab masing-masing bagi menyokong Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Kompetensi KMKK Daerah Dalat di Hotel Tanahmas, di sini, pada Jumaat.
Menurutnya, KMKK perlu memahami hala tuju PCDS 2030 kerana mereka bukan sekadar menjadi penghubung antara kerajaan dengan rakyat, malah memainkan peranan penting mengenal pasti keperluan masyarakat serta menangani isu sosial.
"Terdapat tiga bidang utama yang memerlukan penglibatan aktif KMKK, iaitu pengurusan bencana, pembangunan sosial dan pembangunan infrastruktur bagi memastikan keperluan masyarakat dapat ditangani dengan lebih berkesan," ujarnya.
Dalam pembangunan sosial, KMKK berperanan membantu kerajaan mengenal pasti golongan miskin melalui pengesahan data di peringkat kampung, selain memastikan maklumat yang dikongsi dengan pejabat daerah tepat supaya bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar layak.
Bagi pembangunan infrastruktur pula, beliau berkata, KMKK menjadi penghubung antara penduduk dengan agensi kerajaan, terutama dalam menangani isu yang boleh menjejaskan pelaksanaan projek seperti percanggahan pandangan penduduk berhubung isu tanah dalam projek jalan raya di Ulu Baoh.
Sehubungan itu katanya, kerjasama dengan Jabatan Tanah dan Survei diperlukan bagi menjelaskan status pemilikan tanah kepada penduduk supaya salah faham dapat ditangani dan projek pembangunan dapat diteruskan, manakala dalam pengurusan bencana, KMKK turut menjadi barisan hadapan membantu masyarakat ketika kecemasan sementara menunggu ketibaan pasukan penyelamat.
Tambah beliau, program kompetensi itu juga menjadi platform untuk peserta menilai keberkesanan pelaksanaan tugas, mengenal pasti kelemahan dan merangka penambahbaikan, selain berharap latihan serta perbincangan berkumpulan dapat menghasilkan perancangan praktikal untuk dilaksanakan tahun hadapan.-EDISI UKAS