FTES Jimat Kos Pendidikan Tinggi Keluarga Sehingga RM200,000
SIBU: Pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) berpotensi menjimatkan perbelanjaan pendidikan sesebuah keluarga sehingga RM200,000 bagi tempoh empat tahun pengajian, sekali gus mengurangkan beban kewangan ibu bapa dan keperluan graduan menanggung hutang pinjaman pendidikan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, sebelum pelaksanaan FTES, yuran pengajian bagi jurusan kejuruteraan di Swinburne University of Technology Kampus Sarawak (Swinburne Sarawak) boleh mencecah antara RM30,000 hingga RM35,000 setahun.
“Bayangkan dengan adanya dasar pendidikan tinggi percuma ini, kerajaan membantu menanggung kos tersebut dan keluarga dapat menjimatkan kira-kira RM200,000 dalam tempoh empat tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Penutupan Program Peningkatan Profesionalisme Institusi Kampung dan Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka Tahun 2026 di sebuah hotel, di Sibu, pada Jumaat.
Menurut beliau, bagi tempoh empat tahun, jumlah yuran pengajian sahaja boleh mencapai RM100,000 hingga RM120,000, manakala kos sara hidup termasuk sewa rumah dan makanan dianggarkan sekitar RM15,000 setahun atau RM60,000 sepanjang tempoh pengajian.
Mengulas lanjut, Datuk Dr Annuar berkata, FTES bukan sahaja bertujuan meringankan beban kewangan keluarga, malah memastikan anak-anak Sarawak dapat menamatkan pengajian tanpa dibebani hutang pinjaman pendidikan.
Beliau berkata, dasar pendidikan tinggi percuma itu turut bermatlamat memperluas akses pendidikan kepada semua anak Sarawak tanpa mengira latar belakang kaum.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan statistik Universiti Teknologi Sarawak (UTS) menunjukkan peningkatan penyertaan pelajar Bumiputera, khususnya dari kawasan luar bandar, daripada 10 peratus kepada 30 peratus ketika pelaksanaan subsidi yuran sebanyak 50 peratus sebelum meningkat kepada 48 peratus ketika ini.
Perkembangan tersebut menunjukkan peningkatan penyertaan pelajar Bumiputera di UTS sepanjang pelaksanaan inisiatif bantuan yuran pengajian yang dinyatakan.-EDISI UKAS